Finalis Grand Prix Perak, Selangor Pistons, mencuri tumpuan hari pertama saingan Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Champions Cup 2024 selepas meraih kemenangan straight set 2-0 bertemu Royal Thai Airforce di Stadium MBSJ Serdang Jaya, sebentar tadi.

Meskipun dibarisi pemain kebangsaan Thailand, ia tidak mematahkan semangat juang tinggi skuad kendalian Ridhuwan Abd Manaf untuk mencatatkan keputusan positif dalam Kumpulan B.

Sejak daripada awal permainan, kedua-dua pasukan memberikan tentangan sengit dengan tidak membiarkan perbezaan mata begitu jauh dicatatkan.

Kedudukan 11-10 menghangatkan suasana penonton apabila kemasukan Siriwat Sakha menambah bisa serangan Royal Thai Airforce, namun Selangor Pistons tidak membenarkan pasukan lawan mendahului aksi, sekali gus mendapatkan kemenangan awal 17-16 di set pertama.




Pengalaman yang dimiliki Khairol Zaman tidak boleh disangkal tatkala mengetui pasukan Selangor Pistons memimpin aksi di set kedua 10-6.

Libasan Khairol Zaman membawa kepada mata kemenangan buat Selangor Pistons 15-11 untuk menutup drama pertembungan menarik daripada kedua-dua wakil negara itu.