Negeri Sembilan Antlers mempertahankan kejuaraan Emas Anuar STL Champions Cup apabila menumbangkan juara lima GP musim ini, Kuala Lumpur Thunder, dalam aksi final di Stadium MBSJ, Serdang Jaya sebentar tadi.
Membariskan Haziq Nizam (tekong), Zulefendi Sumari (pengumpan) dan Hafizul Hayazi (perejam), NS Antlers memanfaatkan sepenuhnya ketiadaan Azlan Alias memandangkan KL Thunder lebih memilih untuk mempertaruhkan perejam muda, Redwan Hakim, untuk bergandingan dengan Syahir Rosdi (tekong) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan).
Selepas NS Antlers mendahului 11-10 dalam set pembukaan itu, barulah KL Thunder menekan butang panik untuk memaskkan Azlan tetapi sudah terlalu lewat untuk menyekat kemenangan 17-15 memihak pasukan Negeri Sembilan berkenaan.
Dalam set kedua, NS Antlers sekali lagi mempamerkan dominasi untuk mendahului 7-4 dan KL Thunder yang terdesak mengubah percaturan untuk memasukkan Zarif Marican Ibrahim Marican untuk kembali mengimbangi perlawanan itu.
KL Thunder berhasil menyamakan kedudukan 8-8 tetapi selepas itu, siri rejaman tajam Hafizul dan penyelamatan luar biasa Zulefendi memastikan NS Antlers menamatkan aksi final itu dengan kemenangan 15-10 untuk mempertahankan kejuaraan, yang turut dimenangi mereka tahun lalu.
"Emas Anuar STL","Liga Sepak Takraw","Emas Anuar STL Champions Cup","Kuala Lumpur Thunder","Negeri Sembilan Antlers"
Muzaffar Musa
Sun Nov 17 2024