Selepas Garuda Sepaktakraw, giliran MGPC Singapore menjadi mangsa amukan seterusnya Negeri Sembilan Antlers dalam pertembungan kedua Kumpulan A di Stadium MBSJ Serdang Jaya, sebentar tadi.
Kejayaan memperoleh kemenangan kedua itu membawa Negeri Sembilan Antlers menduduki tempat pertama Kumpulan A, sekali gus mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Champions Cup 2024.
Skuad kendalian Shahir Nasrudin mengambil pendekatan berbeza apabila merehatkan tekong kebangsaan, Haziq Nizam, yang digantikan oleh Amar Roslan sambil dibantu oleh Zulefendi Sumari dan Aman Rosdi.
Tanpa menunggu lama, NS Antlers terlebih dahulu mudah mengutip mata sehingga 10-5 tanpa menerima sebarang tentangan sengit daripada wakil pasukan dari Singapura itu.
NS Antlers yang turun selaku status juara bertahan tenang menghabiskan perlawanan set pertama dengan kemenangan 15-8 tatkala MGPC Singapore cuba merapatkan jurang, namun usaha tersebut dilihat buntu buat mereka.
Skrip sama berulang di set kedua apabila finalis Grand Prix Johor itu memimpin permainan dengan kelebihan lima mata untuk kedudukan 7-2.
Libasan Amar Roslan menutup aksi straight set 15-5 untuk membawa rakan-sepasukan merekodkan kemenangan bersih dalam tempoh 14 minit.
Najmi Iman
Thu Nov 14 2024