Kuala Lumpur (KL) Thunder terpaksa bermandi peluh sebelum mara ke pentas final Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Champions Cup 2024 selepas menewaskan Perak Bison dalam perlawanan rubber set 13-15,15-10,15-6 di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, sebentar tadi.
Rosli Rahman kekal mempertaruhkan trio terkuatnya iaitu Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam). Begitu juga Perak Bison yang membariskan Kritsada Sungvung (tekong), Aidil Aiman (pengumpan) dan Noraizat Nordin (perejam).
Anak buah Dzafril Anuar terlebih dahulu melebarkan jurang kedudukan apabila mendahului 6-4 dengan dua mata.
Walaupun KL cuba berjaya mengikat kedudukan menjadi 11-11, kesilapan berulang yang dilakukan Syahir Rosdi dalam penghujung perlawanan memberikan Perak kelebihan untuk menang 15-13 dalam set pertama.
Set kedua bermula sengit dengan Perak cuba menamatkan perlawanan dengan kemenangan straight set, tetapi ketenangan juara Grand Prix lima kali berturut-turut itu tenang untuk bangkit dengan kemenangan 15-10 dalam tempoh 25 minit.
Momentum itu diteruskan dalam set penentuan dengan Syahir Rosdi membuktikan kredibilitinya selaku pemain kebangsaan dengan servisnya menjadi beban buat Perak untuk tumbang 15-6 kepada pasukan dari Ibu Kota itu.
Negeri Sembilan Antlers mahupun Selangor Pistons bakal menjadi cabaran terakhir KL di pentas akhir esok sebelum bergelar juara.
Saufi Tahir
Sat Nov 16 2024