Perejam Negeri Sembilan Antlers, Hafizul Hayazi, berkongsikan perasaannya selepas diberikan peluang untuk menjulang trofi Emas Anuar STL Champions Cup 2024 selepas menewaskan Kuala Lumpur Thunder dalam aksi final di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, semalam.

Walaupun bergelar pasukan 'underdog' musim ini, Hafizul turut menjelaskan ketajaman servis Haziq Nizam memberikan mimpi ngeri buat pasukan lawan hingga membantu pasukannya muncul juara dua kali berturut-turut.

"Perasaan tidak boleh digambarkan dapat pertahan gelaran, seperti mimpi dapat banggakan Negeri Sembilan. Saya berdarah Negeri, jadi kapten beri ruang buat saya angkat piala itu.

"Malam tadi kami beraksi tanpa tekanan, kami berlapang dada dan jaga disiplin serangan dan pertahanan akhirnya dapat buktikan selepas tewaskan KL Thunder.






"Mungkin dari aspek servis Haziq dan corak bertahan yang memastikan Negeri Sembilan dilihat kuat. Dapat kekalkan kejuaraan dua kali berturut-turut antara kenangan manis saya," katanya.

Dalam pada itu, pengurus pasukan itu, Rahimu Rahim, turut menjelaskan rahsia disebalik kemenangan pasukannya iaitu disiplin dan faktor keserasian setelah sekian lama membentuk pasukan itu.






"Kita pasukan underdog tahun ini dengan status juara tahun lepas. Disiplin dan keserasian merupakan kejayaan pasukan. Kerjasama berpasukan Negeri Sembilan juga sangat tinggi." katanya.