STL

Emas Anuar STL: Aksi penuh dramatik warnai pertembungan PDRM Defenders-Bomba Fighters

Ammar Hakim 29/10/2024 | 10:27 MYT
Pertembungan tiga set menjadi sajian aksi antara Bomba Fighters bertemu PDRM Defenders dalam saingan GP Johor Emas Anuar Sepak Takraw League (STL).
Stadium Arena Larkin, dihidangkan perlawanan cukup mendebarkan dalam setiap pungutan mata.
PDRM yang menurunkan Shahril Aimin Halim selaku pengumpan, Syukri Hassan sebagai killer manakala Siwatbancha selaku tekong diberikan tentangan sengit Bomba Fighters.
Penentuan deuce terpaksa dilalui selepas terikat 14-14 dengan akhirnya PDRM unggul merampas set pertama 17-15.
Bomba Fighters tidak perlu menunggu lama untuk mendahului dan mengawal gelanggang sebaik set kedua bermula.
Tidak seperti di set pertama, Bomba bangkit menerusi gandingan trio Baihakki Arippin, Nik Afiq Mazlan dan juga Pongtason Phong Udtha selaku tekong.
Kemenangan selesa diraih Bomba 15-7 untuk membawa perlawanan ke set ketiga.
PDRM yang sudah belajar daripada kesilapan dan pantas mendahului set ketiga tetapi Bomba berjaya merapatkan jurang mata walau PDRM mendahului 7-3.
PDRM melepaskan peluang untuk menang perlawanan lebih awal selepas satu mata yang diperlukan berjaya dinafikan Bomba untuk penentuan deuce.
Akhirnya Bomba Fighters meraih kemenangan mengatasi PDRM dengan keputusan 17-16.
#Sepak Takraw #STL #Emas Anuar STL
;