Kecekalan Negeri Sembilan Antlers mengharungi detik getir permainan memberi pulangan berbaloi apabila mara ke pentas final Grand Prix (GP) Johor, Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Premier selepas menundukkan Perak Bison 2-1, sebentar tadi.
Stadium Arena Larkin menjadi saksi kebangkitan Antlers yang mempertaruhkan trio tempatan, Haziq Hairul Nizam, Zulefendi Sumari dan Hafizul Hayazi Adnan (pelibas) untuk menjamin tiket final GP musim ini buat julung kalinya.
Anak buah Rahimy Rahim itu jelas masih tercari-cari rentak yang menyaksikan suatu ketika mereka ketinggalan enam mata untuk menyekat kemenangan Bison mendominasi set pertama 15-13.
Permainan bertambah rancak dalam set kedua apabila mereka saling berbalas mata yang menyaksikan pelibas banyak memainkan peranan utama dalam kutipan mata.
Tetapi selepas terikat 5-5, Antlers kembali di kedudukan sukar apabila ketinggalan 5-8 sebelum situasi itu berjaya diimbangi.
Dan di penghujung permainan, giliran tekong pula mencuri perhatian dengan kemenangan 17-16 memihak Antlers.
Keyakinan yang semakin meningkat membantu Antlers menguasai gelanggang dan selepas 'time out' di kedudukan 6-5, mereka semakin selesa mengutip satu persatu mata.
Keadaan itu memaksa kem Bison memasukkan tekong, Meor Zulfikar Mat Amin, bagi menggantikan Kritsada Sungvung di pertengahan set penentuan.
Begitupun, ia belum memadai untuk menyekat kemenangan 15-9 Antlers daripada mengatur pertemuan final dengan Kuala Lumpur Thunder, malam ini.
Shaiful Shamsudin
Sat Nov 02 2024