Bomba Fighters menumpaskan KPT-Masum Knight dalam aksi rubber set 15-11,12-15,15-9 dalam saingan Kumpulan A Grand Prix (GP) Perak, Emas Anuar Liga Sepaktakraw (STL) Premier di Stadium Indera Mulia, Ipoh, sebentar tadi.






Bomba Fighters dibarisi Irsyad Faiz (Tekong), Nik Afiq (Pengumpan), Adam Adlee (Perejam) dan KPT-Masum Knight pula meletakkan skuad terbaik seperti Najmi Syahfiq (Tekong), Aiman Hakim (Pengumpan), dan Hafifi Tajudin (Perejam).

Skuad kendalian Zul Amri terlebih dahulu mendominasi perlawanan hingga meninggalkan lawan dengan jurang lima mata untuk kedudukan 10-5.






Namun, Bomba kembali mendapatkan rentak perlawanan untuk mengikat KPTM 10-10 sekali gus menamatkan aksi set pertama dengan kemenangan 15-11 dalam tempoh 24 minit.

Set kedua yang berlangsung selama 31 minit itu lebih terbuka buat kedua-dua pasukan tetapi beberapa kesilapan mudah menghukum Bomba apabila tewas 12-15 dengan aksi diteruskan menerusi set penentuan.





Begitupun, Bomba kembali memperkemaskan corak serangan dan pertahanan mereka untuk menoktahkan kemenangan dalam set penentuan 15-9 dalam masa 20 minit dengan perejam Bomba, Adam Adlee, menjadi watak penting dalam membantu pasukannya meraih tiga mata pertama.