STL
Emas Anuar Piala Juara-Juara STL: Titans, Thunder, Tigris sah ke separuh akhir
Melaka Titans, Kuala Lumpur Thunder dan Johor Tigris mengesahkan tempat ke separuh akhir Emas Anuar Piala Juara-Juara STL selepas menewaskan lawan masing-masing di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru hari ini.
Titans mengesahkan kemaraan selepas mengatasi Putrajaya Cyborg 21-16, 21-17 dan ia turut dibantu kemenangan 21-17, 21-11 KL Thunder ke atas Penang Black Phanters, sekali gus menjadikan kedua-dua pasukan itu sebagai wakil Kumpulan B untuk ke separuh akhir.
Johor Tigris pula mencipta kejutan apabila mengatasi juara Liga Sepak Takraw (STL), ATM Guardians.
Pasukan tuan rumah itu bangkit daripada kekalahan 8-21 dalam set pertama untuk meraih kemenangan dramatik 22-20, 21-18 dalam dua set berikutnya.
KL Thunder dan Titans layak ke separuh akhir selepas masing-masing mengumpulkan empat mata di kedudukan pertama dan kedua Kumpulan B --KL Thunder turut berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Tigris juga mengumpulkan empat mata untuk meneruskan kemaraan daripada Kumpulan A sambil akan diiringan sama ada Guardians atau Negeri Sembilan Antlers -- masing-masing terikat dengan dua mata di tangga kedua dan ketiga -- yang akan bertemu sesama sendiri dalam saingan hari terakhir peringkat kumpulan malam esok.