STL
CelcomDigi STL: Zarif Marican sedia galas tugas tekong utama KL Thunder
Tonggak Kuala Lumpur Thunder, Zarif Marican Ibrahim Marican, menegaskan dirinnya sedia memikul tugas selaku tekong utama selepas penghijrahan Syahir Rosdi ke Melaka Titans musim ini.
Bagi pemain berusia 24 tahun itu, ia merupakan peluang terbaik untuk membuktikan kredibilitinya sebagai antara tekong yang wajar diberikan perhatian, sekali gus kekal berada dalam skuad kebangsaan.
Tanpa berselindung, pemain kelahiran Pulau Pinang itu akui ketiadaan Syahir dan perejam berpengalaman, Azlan Alias, sedikit sebanyak memberikan impak kepada KL Thunder, yang akan turun dengan misi mempertahankan gelaran juara Divisyen Perdana CelcomDigi Liga Sepak Takraw (STL) bermula 17 Jun ini.
Iklan
"Setakat ini Alhamdulillah, kami sudah memulakan latihan dan semua persiapan daripada segi fizikal dan mental, kami sudah bersedia," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Daripada segi peluang, memang kita tahu Syahir Rosdi sudah ke Melaka, jadi saya berpeluang untuk bermain sebagai tekong utama.
"Saya memohon kepada semua untuk berdoa agar saya dapat melakukan yang terbaik.
"Tipulah kalau tiada tekanan sebagai pemain kerana pasukan yang saya wakili bukan pasukan sembarangan.
"KL antara pasukan terbesar jadi, tekanannya sentiasa ada," katanya.
Must-Watch Video