STL
CelcomDigi STL: Penang Black Panthers-KL Thunder cabar tempat kelima
Kuala Lumpur (KL) Thunder menanti cabaran Penang Black Panthers selepas menewaskan masing-masing dalam hari terakhir pusingan kedua CelcomDigi Sepaktakraw League (STL), esok.
Black Panthers terlebih dahulu melangkah ke klasifikasi tempat kelima dan keenam selepas aksi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan itu sebentar tadi dengan menewaskan cabaran Terengganu Turtles menerusi keputusan straight set.
Black Panthers mempertaruhkan kudrat Danial Iman selaku pengumpan, Imran Fazli di bahagian tekong sementara Fitri Rusdi selaku pelibas.
Iklan
Dan mereka pada awalnya dicabar hebat Turtles yang memimpin aksi dalam set pertama 10-8 sebelum juara hatrik STL 2016-2018 itu bangkit mengikat kedudukan, sekali gus memimpin aksi 15-13 dalam tempoh 25 minit.
Black Panthers meneruskan momentum itu dengan mendahului set kedua 9-4 sebelum mengesahkan ke klasifikasi tempat kelima hasil kemenangan 15-10.
Dalam masa sama, KL Thunder pula menurunkan trio yang terdiri daripada Amirul Zazwan Amir, Chayapon Chanakorn serta Redwan Hakim.
Mereka menampilkan aksi lambat panas untuk ketinggalan pada awal set pertama.
Namun, sebaik mengumpul mata ke enam, KL Thunder mengutip mata demi mata untuk mendahului permainan 11-5.
Empat mata berturut-turut daripada ATM Guardians cuba merapatkan jurang tetapi tiada apa yang mampu menghalang KL Thunder untuk menjamin kemenangan 15-12.
Set kedua berlangsung sengit dengan hanya satu atau dua mata membezakan kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun, KL Thunder berdiri teguh untuk memburu setiap mata dan memanfaatkan setiap kesilapan lawan hingga memutlakkan kemenangan 15-13.
Must-Watch Video