Skip to main content

Sepak Takraw

CelcomDigi STL: Pemain muda PSM Mavericks kejutkan Bomba Fighters

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

psm-mavericks.jpg
Permainan kemas yang dipamerkan Bomba Fighters ketika menang dalam aksi terdahulu gagal memukau PSM Mavericks.

Langkah berani kem Mavericks menurunkan pemain muda untuk penampilan sulung mereka, bukan sahaja memberi langkah kanan, malah lebih manis, ia direkodkan dengan keputusan straight set.

Zaim Zamri sekali lagi memikul tanggungjawab selaku kapten Fighters di samping tekong import dari Thailand, Pongsatorn dan Rizani Ruzaini selaku perejam.

Namun kali ini, trio utama Fighters itu pantas dikejutkan lawan yang kesemuanya berusia antara 16 hingga 18 tahun.

Malah trio bimbingan Izwan Abd Latif yang dibarisi Zulhakim, Farez dan Zulfaiz tenang memimpin set pertama sehingga mencetak kemenangan 15-9.

Jangkaan untuk Fighters bangkit di set kedua telah merancakkan suasana di dalam Stadium SUKPA.

Semakin menarik apabila menuju ke penghujung permainan, Fighters memastikan mereka tidak ketinggalan jauh 11-13 dengan Mavericks yang terus-terusan mengasak.

Mavericks nyata garang dengan hanya membenarkan satu sahaja mata dicuri Fighters selepas itu, sekaligus menafikan peluang skuad bimbingan Mohd Syazwan untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Mavericks segera menutup set kedua 15-12, sekaligus mengesahkan kemenangan 2-0.

Sementara itu, Melaka Titans tiada masalah untuk melakar kemenangan pertama. Mudah membelasah Penjara Enforcers dalam aksi stright set.

Titans yang membariskan Syahir Rosdi, Zaim Razali dan Yodsanon Laemthaisong agresif memulakan perhitungan dengan anak buah Norfazellan Nor tampak bergelut mengejar rentak permainan.

Enforcers yang membariskan Hisyamudin Nazri, Muhaimin Othman dan Firdaus Mahadi cuba mengejar rentak Titans, namun gagal menyekat Titans yang sentiasa memimpin permainan.

Set pertama berakhir dengan kemenangan memihak Titans 15-10.

Set kedua, Enforcers pada mulanya sentiasa menekan Titan namun hanya untuk seketika sebelum mereka makin hambar sekaligus memudahkan anak buah Khairul Anuar pantas mengaut mata demi mata.

Memanfaatkan situasi hilang arah Enforcers itu sekaligus mudah menutup permainan menerusi kemenangan 15-5.
 

Advertisement

Must Watch Video