Datuk Seri Ahmad Ismail mengambil langkah drastik dengan melepaskan jawatannya sebagai presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkuat kuasa tengah malam ini.

Selepas menyandang jawatan itu sejak 2002, hasrat tersebut dimuktamadkannya ketika tampil dalam program khas AM bersama PM, sebentar tadi selepas badan induk berkenaan terpalit isu dengan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) baru-baru.

Menurut Ahmad, tindakan itu diambil bagi memastikan keharmonian keluarga sukan tersebut di peringkat tempatan berikutan 10 persatuan negeri mengumumkan penarikan diri berhubung pergeserannya dengan ASTAF.

Malah, senarai bayangan jawatankuasa persatuan baru yang bakal ditubuhkan juga sedang bertiup kencang.



Dalam temu bual bersama Azlan Mubin itu, Ahmad berikrar akan menentang keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) -- yang menggantungnya selama 15 tahun atas empat pertuduhan itu -- di mahkamah.

Dia, yang menjelaskan masih kekal sebagai presiden Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang, memaklumkan Timbalan Presiden, Akramuddin Abdul Aziz, akan bertindak sebagai pemangkunya.


Bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, Tok Mat digantung masing-masing selama lima tahun daripada sepak takraw di peringkat tempatan dan antarabangsa sementara untuk pertuduhan keempat, beliau digantung selama 10 tahun daripada sepak takraw tempatan dan antarabangsa.

Dalam wawancara khas itu, beliau menempelak Presiden ASTAF, Datuk Halim Kader, sambil menunjukkan buku sebagai sebuah bukti yang mengaitkan salah laku Halim.

Selain mengumumkan tidak akan bertanding bagi penggal 2021-2025 yang secara tidak langsung mencerminkannya tidak mempunyai sebarang kepentingan, dia menyeru usaha untuk menjadikan Stadium Titingwasa sebagai pusat memacu perkembangan sepak takraw negara dipergiatkan lagi selain memastikan Sepak Takraw League (STL) terus rancak.