Daulat Tuanku!

Merafak sembah sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, pada 20 Julai, kita selusuri minat baginda terhadap sukan pemotoran berkuasa tinggi.


Dikenali sebagai seorang pemerintah yang berjiwa rakyat, prihatin, dan berwibawa, DYMM Sultan Ibrahim juga diketahui umum sebagai seorang peminat tegar kereta mewah, kereta sukan, dan kereta klasik daripada pelbagai jenama.



Antara koleksi kenderaan DYMM Sultan Ibrahim yang pernah tular adalah kereta model Dodge semasa berangkat pulang dari Istana Bukit Serene sempena Istiadat Pelantikan Pemangku Sultan, selain kereta sukan klasik, Morgan 3 Wheeler dan trak Mack Super-Liner Sleeper.



DYMM Sultan Ibrahim sememangnya seringkali dilihat menunggang atau memandu sendiri, terutama ketika program jelajah negeri Johor yang dicetuskan baginda ketika bergelar Tunku Mahkota Johor pada 2001.



Program yang dikenali sebagai Kembara Mahkota Johor (KMJ) ini kekal diteruskan selepas baginda menaiki takhta kesultanan dan pasca pandemik Covid-19 menyaksikan KMJ kembali pada 2023 tetapi kali ini, diketuai buat pertama kalinya oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Walaupun Pemangku Sultan Johor itu lebih cenderung kepada sukan bolasepak, legasi sukan permotoran diteruskan secara serius oleh dua lagi putera DYMM Sultan Ibrahim iaitu Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.



Kedua-dua putera Sultan Johor itu beraksi bersama pasukan Triple Eight JMR yang menampilkan dua jentera Mercedes AMG GT3 pada GT World Challenge Asia yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand.

Pada 2022, Tunku Abdul Rahman menjuarai kejohanan Pro-Am di Asia, dan menamatkan saingan di tempat ketiga di Australia manakala JMR dan Triple Eight muncul juara keseluruhan Kejohanan Berpasukan di Asia.