Skip to main content

Rencana

WWE Wrestlemania 35: ‘Extravaganza’ terbesar buat peminat gusti

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wrestlemania-main-image.jpg
Acara tahunan paling gah dan terbesar gusti profesional iaitu WWE Wrestlemania akan kembali lagi pada tanggal 8 April depan. Menjadi tradisi untuk festival sukan hiburan gilang gemilang ini, WWE Universe di seantero dunia bakal disajikan dengan sebuah acara hebat yang berdurasi hampir 8 jam secara langsung di rangkaian WWE Network.
 
Wrestlemania edisi 2019 kali ini akan membariskan sebanyak 15 perlawanan, menjadikan ia paling banyak dalam sejarah penganjuran acara ini sejak tahun 1984. Bakal ke udara dari Metlife Stadium, New Jersey, Amerika Syarikat, ia akan bermula seawal jam 5 pagi waktu tempatan dan berkemungkinan hanya akan berakhir sekitar jam 12 tengahari.
 
Acara pra pembukaan atau Kickoff sahaja bakal menampilkan 3 perlawanan. Dua perlawanan penyingkiran tempur raksasa iaitu bagi Andre The Giant Memorial Battle Royal dan siri kedua perlawanan Battle Royal Wanita bakal mengambil tempat. Nama-nama hebat seperti bekas Juara Wanita Smackdown Asuka, Naomi, Carmella, Ruby Riott dan ramai lagi akan bersaing sesama sendiri bagi menobatkan siapakan di antara bintang wanita ini paling dominan di antara yang lain.
 
Manakala dominasi Buddy Murphy selaku Juara Cruiserweight WWE juga akan terus dicabar apabila Tony Nese kini menggalas tugas selaku pencabar utama kejuaraan tersebut dalam perlawanan yang juga akan berlangsung di acara Kickoff tersebut.
 
Tumpuan pastinya terarah kepada perlawanan kemuncak Wrestlemania kali ini. Buat pertama kalinya dalam sejarah penganjuran Wrestlemania, tiga bintang wanita telah diberikan kepercayaan untuk beraksi dalam perlawanan penutup.
 
 
Juara Wanita Raw Ronda Rousey akan menghadapi tentangan tiga penjuru apabila dicabar oleh seteru utamanya sejak berbulan lalu iaitu pemenang Royal Rumble wanita 2019 Becky Lynch. Juga tidak ketinggalan seorang lagi yang tidak kurang hebatnya. Siapa lagi kalau bukan Juara Wanita Smackdown Charlotte Flair.
 
Menariknya dalam perlawanan ini, individu yang berjaya memperoleh kemenangan akan menyapu bersih semua kejuaraan yang ada. Dengan kata lain, kedua-dua Kejuaraan Wanita Raw dan Smackdown akan dibawa pulang, menjadikan bakal pemenang sebagai juara mutlak atau undisputed.
 
Bagi Kejuaraan Universal WWE pula, penyandang juara Brock Lesnar akan menerima tentangan daripada pemenang perlawanan Royal Rumble Lelaki bagi tahun ini iaitu Seth Rollins. Secara atas kertasnya, kelihatan cabaran untuk The Beast kali ini tampak mudah jika melihatkan perbezaan saiz antara mereka.
 
 
Namun perkara sebaliknya tidak mustahil boleh berlaku. Melihatkan Lesnar di’ayam’kan oleh Rollins ketika acara WWE Raw minggu ini, tidak mustahil Kejuaraan Universal yang dikuasai oleh Lesnar sejak dua tahun lalu ini boleh bertukar tangan. Sejarah di Wrestlemania 31 pada empat tahun lalu boleh berulang di mana ketika itu kita menyaksikan The Architect menunaikan hak sebagai pemegang kontrak Money In The Bank dengan muncul secara mengejut, seterusnya mengecewakan Brock Lesnar dan Roman Reigns yang sedang hangat bertempur.
 
Mampukah King Slayer bertukar menjadi penyembelih The Beast pula kali ini? Adakah gerakan penyudah Curb Stomp mampu menangkis pusingan maut F5? Atau Rollins hanya akan menjadi mangsa seterusnya yang dibawa ‘bersiar-siar’ ke Suplex City?
 
Kejuaraan WWE pula bakal menampilkan dua individu bersaiz sederhana namun berimpak tinggi. Sang juara Daniel Bryan yang mendabik dada sebagai juara pencinta alam akan menerima tentangan daripada Kofi Kingston.
 
 
Biarpun ditekan minggu demi minggu oleh Vince McMahon yang seakan menidakkan kelayakan serta kemampuan Kofi, namun tuah tetap menyebelahi bintang kelahiran Ghana ini apabila dinobatkan sebagai pencabar utama minggu lalu. Jerih perih yang dilalui selama hampir sedekad akan terbayar jika Kofi mampu menumbangkan Bryan, seterusnya mencipta sejarah sebagai Juara WWE Afrika-Amerika pertama dalam sejarah.
 
Ketua Pegawai Operasi WWE, Triple H pula meneruskan kelazimannya menyarung semula but setiap kali Wrestlemania. Kali ini, bekas sekutu dan anak didiknya ketika berada dalam gagasan Evolution, Batista akan cuba menamatkan karier menantu kepada Vince McMahon ini.
 
 
Biarpun kini sedang sibuk sebagai bintang Hollywood, namun Batista tidak melupakan dari mana asal usulnya dan ingin mengubati rindu peminat. Bintang yang terkenal dengan watak Drax The Destoyer dalam filem Guardians of the Galaxy ini telah mencabar Hunter dan sekiranya tewas, maka The Game perlu bersara untuk selamanya.
 
Tidak hanya sekadar perlawanan, acara Wrestlemania juga nanti akan menampilkan persembahan penuh oleh Elias (sekiranya tiada gangguan), juga kebarangkalian kemunculan bintang lagenda seperti John Cena dan The Undertaker.
 
Perlawanan lain yang bakal mengambil tempat:
1. The Miz lawan Shane McMahon dalam perlawanan Tindanan Di Mana Saja (Falls Count Anywhere)
2. AJ Styles menentang Randy Orton
3. Samoa Joe dicabar Rey Mysterio untuk Kejuaraan Amerika Syarikat
4. Bobby Lashley berhadapan dengan “Demon” Finn Balor untuk Kejuaraan Antara Benua
5. Kurt Angle beraksi dalam perlawanan selamat tinggal sebelum bersara dengan menentang Baron Corbin
6. Roman Reigns lawan Drew McIntyre
7. Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Beregu Wanita: Sasha Banks & Bayley (juara) lawan Beth Phoenix & Natalya lawan The IIconics lawan Nia Jax & Tamina
8. The Usos (juara) lawan The Bar lawan Shinsuke Nakamura & Rusev lawan Aliester Black & Ricochet bagi perebutan Kejuaraan Beregu Smackdown
 
(Foto: WWE.com)
 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Wrestlemania pada 8 April depan dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Advertisement

Must Watch Video