Skip to main content

Rencana

WWE Royal Rumble 2018: Nakamura dan Asuka cipta sejarah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

royalrumble-300118-1.jpg
Dua bintang Jepun WWE, Shinsuke Nakamura dan Asuka masing-masing mencipta saat gemilang yang tersendiri apabila berjaya memenangi perlawanan Royal Rumble di edisi ke-31 acara Royal Rumble semalam.
 
Beraksi bersama 29 lagi penggusti lain, Nakamura tampil cemerlang dengan muncul pada tempat ke 14 dan disambut penuh meriah oleh seluruh penonton yang memenuhi arena di Philadephia. Tanpa menunggu lama, serangan demi serangan dilancarkan ke atas semua penggusti lain yang ada ketika itu, menyebabkan Nakamura mampu gah bertahan sehingga ke saat akhir perlawanan.


 
Saingan semakin hangat dan sengit apabila seorang demi seorang bintang hebat mula masuk. Nama-nama seperti Randy Orton, Roman Reigns, John Cena, Jinder Mahal, Seth Rollins, Bray Wyatt, Adam Cole dan ramai lagi menyebabkan suasana dalam gelanggang gegak gempita apabila masing-masing cuba untuk menyingkirkan yang lain.
 
Apabila hanya empat penggusti yang tinggal selepas peserta ke 30 selesai membuat kemunculan, penonton mula tidak senang duduk kerana kedudukan Nakamura kelihatan begitu terancam. Finn Balor, Roman Reigns dan John Cena menjadi tiga penggusti lain yang tinggal, menyebabkan penonton mula mencemuh kedua-dua Roman dan Cena, menandakan mereka tidak mahu salah seorang daripada mereka menjadi pemenang.
 
Arena bersorak kegirangan apabila Nakamura berjaya menyingkirkan Cena selepas juara WWE 16 kali itu menghumban keluar Finn Balor sebelum itu. Kini tinggal hanya Roman dan Nakamura. Sejarah 2015 nyaris berulang apabila Nakamura menerima rempuhan bahu daripada Roman. Namun lutut Nakamura lebih padu apabila ia menjadi senjata paling ampuh untuk menendang keluar Roman, seterusnya bergelar pemenang Royal Rumble bagi tahun 2018.
 
Tidak lama selepas kemenangan, Renee Young telah naik ke gelanggang dan bertanyakan Nakamura, siapakah yang ingin dicabarnya di acara Wrestlemania kelak. Kejuaraan Universal atau Kejuaraan WWE. Tanpa sebarang perasaan berbelah bahagi, Nakamura dengan jelas menyebut nama AJ Styles, menandakan yang Kejuaraan WWE menjadi bidikannya kali ini.
 
AJ yang sebelum itu berjaya mempertahankan kejuaraannya dengan menewaskan Kevin Owens dan Sami Zayn, telah memberi respon kepada cabaran Nakamura tersebut melalui Twitter:
 
Jika ditakdirkan yang AJ mampu mempertahankan kejuaraannya sehingga Wrestlemania pada 9 April nanti, nescaya perlawanan impian antara AJ dan Nakamura akan menjadi reality, seterusnya mengulangi semula perlawanan epik mereka yang pernah berlangsung di acara Wrestle Kingdom di Jepun beberapa tahun lalu.
 
Perlawanan Rumble lelaki semalam turut menampilkan beberapa kejutan apabila nama seperti “The Hurricane” Helms dan Rey Mysterio muncul memberikan saingan. Mysterio yang juga pemenang Royal Rumble 2006 muncul dengan penuh bertenaga dan sempat menghadiahkan gerakan tendangan berpusing 619 kepada Miz, Roman dan Cena sebagai cenderamata kenang-kenangan.
 


Rakan senegara Nakamura, Asuka juga meneruskan dominasi bintang Jepun apabila memenangi perlawanan Royal Rumble wanita yang pertama kali diadakan. Muncul di tempat ke 25, ia bukan sesuatu yang sukar untuk Asuka menguasai perlawanan.
 
Cabaran terdekat Asuka iaitu Nia Jax yang mempunyai kelebihan fizikal berbanding peserta lain juga tidak bertahan lama apabila semua penggusti yang ada memeterai ‘memorandum persefahaman’ sementara dan bekerjasama menjatuhkan Jax dari tali paling atas gelanggang.


 
Menariknya dalam perlawanan sulung Rumble wanita ini, dapat kita saksikan hampir tiga suku peserta merupakan peserta kejutan dengan beberapa bintang lagenda turut sama bersaing. Lita, Molly Holly, Torrie Wilson, Jacqueline, Kelly Kelly, Michelle McCool, Beth Phoenix dan Trish Stratus antara nama yang muncul membuat kejutan menyebabkan para penonton di arena melonjak keriangan.
 
Asuka yang bertahan sehingga saat akhir akhirnya terpaksa mendepani pasangan kembar Brie dan Nikki Bella. Mujur pakatan kembar Bella tidak bertahan lama apabila Nikki mengkhianati Brie dan menjadi peserta tunggal untuk berdepan dengan gadis Jepun berusia 36 tahun itu.
 


Menjadikan tubir gelanggang sebagai medan pertempuran, tunangan kepada John Cena itu tidak dapat bertahan lama apabila hilang keseimbangan badan setelah menerima tendangan daripada Asuka. Akhirnya, nama Asuka diumumkan oleh juruhebah gelanggang sebagai pemenang.
 
Kemenangan Asuka melayakkannya untuk memilih salah satu kejuaraan wanita sama ada yang dimiliki oleh Alexa Bliss di Raw atau Charlotte Flair di Smackdown. Namun belum sempat Asuka membuat pilihan, satu lagi kejutan berlaku apabila bekas Juara Bantamweight Wanita UFC, Ronda Rousey muncul dan menuju ke gelanggang.


 
Belum dapat dipastikan apakah matlamat Ronda ke WWE. Namun isyarat jelas telah diberikannya apabila beliau menunjuk ke arah logo Wrestlemania, menandakan gadis gagah ini ingin beraksi di acara gilang gemilang itu kelak.
 
Keputusan lain acara Royal Rumble:
1. AJ Styles beroleh kemenangan kontorversi ke atas Sami Zayn dan Kevin Owens, sekaligus mempertahankan Kejuaraan WWE.
2. The Usos pertahan Kejuaraan Regu Smackdown dengan mengecewakan Chad Gable & Shelton Benjamin.
3. Sheamus & Cesaro rampas Kejuaraan Regu Raw daripada Seth Rollins & Jason Jordan.
4. Bobby Roode tumpaskan Majo Rawley dalam cabaran terbuka Kejuaraan Amerika Syarikat WWE.
5. Brock Lesnar kekal sebagai Juara Universal WWE apabila mengenepikan cabaran daripada Kane dan Braun Strowman.


 
Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro TV & Astro GO.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Advertisement

Must Watch Video