Wajarkah FAS menerima kembali Safee?
Fadzrie Hazis
Februari 16, 2019 20:26 MYT
Februari 16, 2019 20:26 MYT
Sejak kemelut kewangan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) musim ini didedahkan media arus perdana, beberapa pemain tonggak Singa Utara kini kembali dikaitkan dengan perpindahan sebelum tutup jendela perpindahan pertama Liga Malaysia (Liga-M) pada 20 Februari.
Bekas penyerang kebangsaan dan tonggak utama ketika Harimau Malaya muncul juara Piala Suzuki AFF 2010, Safee Sali kini kembali dikaitkan dengan salah satu bekas pasukannya iaitu Selangor selain Kelantan dan pendatang baru Liga Super, PJ City, yang difahamkan turut berminat mendapatkannya.
Namun, apakah wajar buat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerima kembali pemain yang pernah membantu mereka meraih kejuaraan Liga Super pada 2009 dan 2010?
Pada pengamatan penulis yang mengenali Safee secara dekat, Selangor adalah pasukan sesuai buatnya dan pemain kelahiran Kajang itu juga adalah pemain yang mampu melengkapkan ramuan pengendali pasukan, B. Sathianathan.
Meskipun usia Safee kini menjangkau 35 tahun, penulis meletakkan pemain itu sebaris dengan pemain seperti Indra Putra Mahayuddin dan Shukor Adan yang boleh dilabel sebagai legenda Liga M.
Safee kini mungkin tidak lagi dipanggil menguatkan skuad kebangsaan, namun seperti Indra dan Shukor dia turut memiliki aura tersendiri untuk meningkatkan motivasi pemain lain di bilik persalinan.
Gandingan Rufino Sergovia dan Antonio German setakat ini juga belum menunjukkan hasil memuaskan dalam saingan liga dan mungkin, kehadiran Safee membolehkan Sathianathan mencanang taktikal lebih berkesan.
Safee juga adalah pemain yang sudah merasai kesemua kejuaraan dalam saingan Liga M kecuali Piala Malaysia dan mungkin, penantiannya menjulang piala berprestij itu terlerai jika bersama Selangor.
Ia memandangkan Selangor adalah antara pasukan yang kadang kala mempunyai magis tersendiri di saingan Piala Malaysia dan mungkin juga kehadiran Safee membolehkan mereka mengulangi kejayaan menjulang piala tersebut pada 2015.
Apa pun, setakat ini Safee masih pemain Perlis dan ia juga bergantung kepada pengurusan FAS dan Satianathan membuat pertimbangan terbaik sama ada perlu atau tidak mengambil bekas pemain Pelita Jaya dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.