Pagi Sabtu 13 Ogos 2016, Singapura sudah pasti bangga dengan pingat emas Olimpik pertama mereka.
Perenang berusia 21 tahun, Joseph Schooling, mengejutkan dunia apabila merangkul pingat emas dalam acara renang 100m kuak kupu-kupu lelaki di Rio.
Pada usia 13 tahun di Olimpik Beijing 2008, Schooling meminta autograf daripada Michael Phelps, perenang sensasi Amerika Syarikat yang sudah merangkul 22 pingat emas Olimpik.
Lapan tahun selepas itu di Olimpik Rio, perenang dari negara kecil Asia Tenggara ini menewaskan idolanya.
Wowww!!!!
Emas pertama sudah pasti manis untuk Singapura selepas 2 perak dan 2 gangsa di Olimpik Rome 1960, Beijing 2008 dan London 2012 dalam sukan angkat berat dan ping pong.
Atlet Malaysia boleh mengambil iktibar daripada kejayaan atlet Asia Tenggara, antaranya Thailand yang sudah menggondol dua pingat emas di Brazil.
Vietnam membuktikan walaupun mereka bukanlah kuasa besar sukan dunia, namun kekuatan mental dan semangat atlet menembak, Hoang Xuan Vinh, menjelmakan pingat emas pertama Vietnam dalam acara menembak 10 meter air pistol lelaki.
Hoang, kolonel tentera berusia 41 tahun, juga menghadiahkan pingat perak dalam acara 50 meter pistol.
Kejayaan Vietnam dan Singapura ini perlu dijadikan inspirasi kepada atlet mahupun rakyat Malaysia bahawa impian merangkul pingat emas pertama Olimpik Malaysia boleh direalisasikan dengan sokongan dan kerjasama semua pihak.
Ayuh Malaysiaku!