Skip to main content

Rencana

Ujian perit buat S. Kumar

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

s-kumar.jpg
Ia hari yang menyedihkan buat sukan negara apabila penjaga gol pasukan hoki kebangsaan, S.Kumar, didapati positif doping bahan terlarang, sibutramine, ketika kempen skuad negara dalam Kejohanan Hoki Piala Asia di Dhaka, Bangladesh Oktober lalu.

Penjaga gol berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu diuji dengan satu lagi cabaran kehidupan, masihkah anda ingat lagi pada 2015, Kumar diuji kehilangan insan tersayang, Harshen anak lelakinya yang baru berusia tiga tahun ketika itu meninggal dunia akibat dijangkiti kuman dalam darah.

Kumar ketika itu sedang berkhidmat untuk Malaysia dalam kempen Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium. Ia kejohanan yang cukup penting buat negara kerana itu merupakan slot kelayakan ke Sukan Olimpik Rio 2016, di mana Malaysia sudah 15 tahun kempunan untuk beraksi dalam temasya itu.

Kumar pulang dengan hati yang lara, dan Malaysia sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga dalam kumpulan selepas kalah kepada tuan rumah, Belgium, 2-0, dan seterusnya Great Britain, 3-1 untuk hampa gagal layak ke Sukan Olimpik Rio 2016. 

Kumar sebenarnya bukanlah calang-calang, dilabel antara penjaga gol terbaik dunia, buktinya jika disingkap, ketika Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London Jun lalu, Kumar memainkan peranan penting buat Malaysia. 

Paling diingati Kumar berjaya menepis beberapa kali percubaan bahaya daripada pakar pukulan sudut penalti Argentina, Gonzalo Peillat. Meskipun Malaysia tewas 2-1, Kumar berasa bangga dengan prestasi pasukannya ketika itu.

Didakwa positif dengan bahan terlarang jenis Sibutramine, Kumar mengambil pendekatan untuk teruskan kehidupan apabila tidak mahu mencabar keputusan sampel A.  
Sibutramine kini menjadi satu bahan yang  menjadi duri dalam daging buat barisan atlet kerana ia biasanya didapati dalam pil mahupun minuman pelangsing yang berada di pasaran ketika ini. 

Kebanyakkan atlet yang berdepan dengan isu masalah berat badan tidak menyedari bahawa makanan tambahan yang mereka ambil mengandungi Sibutramine, dan natijahnya mengorbankan karier mereka sebagai atlet.

Atlet seperti Ng Yan Yee dari sukan terjun, Khairul Annuar Mohamad (angkat berat) adalah antara atlet yang telah menerima padah digantung dan terpaksa memulangkan kembali pingat dimenangi akibat tidak menyedari mengambil bahan terlarang ini. Dan kini nasib sama menimpa Kumar.

Walau apapun yang menimpa Kumar, diharap anda tidak mengalah dan semoga kuat menghadapi rintangan ini.

Advertisement

Must Watch Video