RENCANA
Tunjukkan magis anda Akhimullah!
Berita Muhammad Shahril Saabah digugurkan pada saat-saat akhir sememangnya satu kejutan dan tamparan yang sangat besar buat pasukan hoki kebangsaan.
Tiada apa yang dapat dilakukan Malaysian Tigers selain mencari pengganti Shahril sebelum memulakan kempen Final Siri Hoki Dunia FIH di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, menentang Brazil malam ini.
Mujur pasukan kebangsaan masih boleh melakukan pertukaran saat akhir dengan memanggil Akhimullah Anuar Esook menggantikan tempat Shahril yang mengalami kecederaan.
Iklan
Bagi saya, ketiadaan penyerang berusia 25 tahun itu semestinya merugikan pasukan kebangsaan kerana pengalaman luasnya yang pernah bermain dalam kejohanan-kejohanan besar seperti Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda dan Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.
Saya melihat antara kerugian yang bakal dirasai Malaysian Tigers ialah kekurangan pilihan dari segi pukulan sudut penalti kerana Shahril mempunyai kebolehan sebagai pakar flick.
Hakikat itu terpaksa ditelan walaupun pahit kerana bukan saya sahaja, malah para penyokong hoki tanah air sememangnya menanti aksi Shahril setelah beberapa kejohanan diketepikan kerana kecederaan.
Apa pun, saya memuji keputusan ketua jurulatih, Roelant Oltmans, kerana berani mempertaruhkan Akhimullah yang belum pernah bermain bersama skuad senior.
Roelant memilih Akhimullah dan bukannya beberapa penyerang senior yang lain seperti Haziq Samsul, yang pernah bermain banyak kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Tindakan itu membuktikan pengendali dari Belanda itu lebih gemar menggunakan kudrat pemain-pemain muda.
Apabila sudah diberikan peluang, ini masanya buat Akhimullah membalas kepercayaan Roelant dengan menampilkan aksi-aksi bertenaga membantu Malaysian Tigers mencapai kejayaan menjuarai kejohanan ini.
Jadikan seorang lagi pemain muda, Azrai Aizad, sebagai contoh kerana dia berjaya mempamer prestasi memukau dalam kejohanan pertamanya bersama skuad senior dalam Piala Sultan Azlan Shah bulan lepas.
Saya amat berharap Akhimullah dapat mengulangi magisnya ketika membantu skuad B-18 negara memenangi pingat emas hoki 5's Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina hingga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak.
Must-Watch Video