Tuchel mangsa kerakusan pemilik baru
Asmawi Bakiri
September 8, 2022 13:16 MYT
September 8, 2022 13:16 MYT
Berita mengejut pemecatan pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, barangkali satu tindakan yang langsung tidak masuk akal.
Jika kita berbicara tentang seorang pengurus yang gagal untuk membuktikan apa-apa pencapaian mahupun kemajuan, seperti Ralf Rangnick bersama Manchester United, maka berita ini seharusnya tidak menghairankan.
Namun, ini bukan calang-calang pengurus, ini Thomas Tuchel!
Kaya pengalaman serta memiliki percaturan taktikal yang berani, Tuchel adalah orangnya yang membolehkan Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada musim pertamanya mengendalikan pasukan.
Di bawah kendaliannya, Chelsea menunjukkan prestasi yang konsisten dalam saban perlawanan.
Biarpun acapkali mereka tewas dalam perlawanan-perlawanan penting, seperti ketika menentang Real Madrid di peringkat suku akhir UCL musim lalu, mereka tetap layak digelar satu pasukan yang kuat dan digeruni.
Musim ini, selepas menerima suntikan dana daripada pemilik baru kelab, Todd Boehly, kesemua pemain baru yang dibawa masuk -- Raheem Sterling, Kalidou Koulibaly, Marc Cucurella, Wesley Fofana dan Pierre-Emerick Aubameyang -- merupakan pilihan Tuchel sendiri.
Mereka adalah pemain-pemain yang dipercayainya boleh dibentuk dalam memperkukuhkan pasukan dan menjadikan The Blues juara sekali lagi.
Jumlah yang dibelanjakan untuk membeli kesemua pemain ini adalah setinggi £250 juta (RM1.3 bilion).
Kini, dalam tempoh hanya lebih kurang sebulan sejak musim baru bermula, Tuchel pula disingkirkan, maka apa gunanya segala pembelian tersebut?
Pembelian Aubameyang merupakan perkara paling melucukan kerana pemain itu berkata dia cukup teruja untuk bersatu semula dengan Tuchel yang pernah melatihnya sewaktu kedua-dua mereka bersama kelab Borussia Dortmund dahulu.
Penyatuan semula mereka sekadar mampu bertahan satu perlawanan -- inilah yang paling tidak masuk akal.
Jika Boehly tidak lagi yakin dengan kebolehan Tuchel untuk memimpin Chelsea, mengapa dia masih bersetuju untuk melaburkan wang bagi membeli pemain yang pengurus itu mahukan?
Mungkinkah terjadinya sesuatu di sebalik tabir yang mendorong kepada tindakan drastik ini?
Laporan The Daily Mail mengatakan bahawa Chelsea sudah pun bersetuju untuk membawa masuk pengurus kelab Brighton, Graham Potter, sebagai pengganti Tuchel.
Kepantasan pihak kelab bertindak seolah-olah menandakan keputusan untuk memecat Tuchel sudah
pun dirancang sejak awal lagi.
Potter kini bakal mewarisi pasukan yang pemain-pemainnya dirancang untuk dibentuk dengan gaya Tuchel sendiri, tidakkah mereka bakal tertanya-tanya adakah keputusan untuk menyertai Chelsea merupakan satu kesilapan besar?
Ada ura-ura yang menyebut bahawa Boehly mula kurang senang dengan Tuchel apabila pengurus itu menidakkan hajatnya untuk membeli Cristiano Ronaldo daripada Manchester United.
Biarpun berbuih mulut Tuchel menjelaskan mengapa Ronaldo tidak bersesuaian untuk aspek harmoni kelab serta tidak serasi dengan perancangannya, Boehly dilaporkan tetap tidak gembira.
Sekali lagi, ini sungguh tidak masuk akal.
Harus diakui prestasi Chelsea pada permulaan musim ini terumbang-ambing, tetapi tidakkah itu sesuatu yang harus dijangka buat pasukan yang dalam proses pembinaan semula, dengan begitu ramai pemain baru yang masih menyesuaikan diri?
Tuchel hanya menanti masa untuk menerima tawaran kelab-kelab terkemuka Eropah yang lain.
Dengan reputasi dan pencapaiannya, itu satu perkara yang pasti.
Bagi Chelsea pula?
Mereka dilemparkan ke dalam situasi berbahaya gara-gara tindakan seorang pemilik baru yang nampaknya langsung tidak peka dengan selok-belok industri bola sepak ini.