Jelajah Semenanjung yang bakal berlangsung dari 15 hingga 19 Oktober ini menyajikan aksi menarik apabila membabitkan 20 pasukan dan pelumba-pelumba dari 23 negara.
Bagi penulis, tumpuan utama peminat tanah air pasti terarah kepada dua pasukan benua tempatan iaitu Terengganu Cycling Team (TSG ) dan Team Sapura Cycling (TSC) bagi merebut mata ranking Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Advertisement
TSG dan TSC berada di kedudukan pertama dan kedua Jelajah Asia UCI, yang melihat TSG mempunyai 2215 mata dan TSC pencabar terdekat 1,819.97 mata.
Bagi penulis, Benjamin Dyball iaitu pelumba bagi pasukan TSC mengharungi tahun yang cemerlang setakat ini apabila berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTDL) selain muncul tiga pelumba terbaik Jelajah Tasik Qinghai, China di mana dua-dua perlumbaan adalah berstatus 2 Hors.
Persembahan menakjubkan Dyball melihatnya dilamar pasukan berstatus Jelajah Dunia, Team Dimension Data atau lebih dikenali sebagai Team NTT musim depan.
Penulis melihat TSG membariskan pelumba import dari Rusia, Arthem Ovechkin yang menjuarai LTdL 2018 bersama Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang meraih gelaran juara Jelajah de Siak di Indonesia bulan lalu, Metkel Eyob, Mohd Shahrul Mat Amin, Goh Choon Huat dan Mohd Harrif Saleh.
Selain itu, TSG dan TSC juga harus waspada terhadap kuda hitam Jelajah Semenanjung iaitu pasukan HKSI Pro Cycling Team dari Hong Kong dan Vino-Astana Motors dari Kazakhstan yang menduduki ranking keempat dan keenam dalam Jelajah Asia.
Penulis percaya Jelajah Semenanjung yang juga merupakan jelajah pertama berstatus 2.1 di Malaysia pasti perlumbaan yang sengit antara 4 pasukan ini dan pasti akan membekalkan pelbagai kejutan.