Tiba masa Brazil pandang ke luar

Asmawi Bakiri
Disember 23, 2022 15:41 MYT
Di negara Brazil, ada satu pepatah berbunyi "Jika ingin mengelakkan konflik, jangan diperdebatkan tentang tiga perkara -- agama, politik dan bola sepak".
Namun, setelah sekian kalinya pasukan kebangsaan mereka gagal untuk mara ke peringkat yang lebih jauh di Piala Dunia, perbincangan tentang satu aspek menarik mula tersemai di mulut pelbagai pihak: Adakah sudah tiba masanya untuk Brazil menagih khidmat pengurus bukan warganegara?
Imbas kembali, kali terakhir Brazil menjulang Piala Dunia adalah 20 tahun lalu, sewaktu Luiz Felipe Scolari mengepalai barisan pemain bintang diterajui oleh "3R" - Ronaldo, Rivaldo dan Ronaldinho.
Brazil ketika itu mudah membereskan kesemua lawan di bumi Korea Selatan dan Jepun, satu pencapaian yang setakat ini masih belum berjaya ditandingi oleh generasi-generasi berikutnya.
Kejayaan itu dikecapi biarpun Scolari cuma dilantik menjadi pengurus buat tempoh setahun sebelum itu dan beliau pantas memutuskan untuk meletakkan jawatan sejurus selepas Piala Dunia tamat agar pencapaiannya tidak berisiko untuk dicemarkan.
Malangnya, disebabkan pencapaian skuad negara itu semakin lama semakin merudum pada tahun-tahun berikutnya, Scolari terpanggil untuk kembali menduduki kerusi panas berkenaan pada 2012.
Di bawah kelolaannya, Brazil berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2014 sebelum tragedi dibelasah 7-1 oleh Jerman di tanah air sendiri mengakhiri episod beliau sebagai pengurus.
Pasca Piala Dunia 2022, pengurus Brazil terkini, Tite, memilih untuk mengumumkan peletakan jawatannya hanya beberapa minit selepas penyingkiran di tangan Croatia, biarpun rekodnya bersama pasukan kebangsaan kelihatan agak bagus dengan 60 kemenangan, 15 seri dan cuma tewas lima kali.
Menurut akhbar The Guardian, Tite dipetik sebagai berkata bahawa segala perubahan yang dibawanya boleh dinilaikan sendiri oleh kesemua pihak dalam tempoh bertahun-tahun akan datang.
Namun, pihak media Brazil tidak segan-silu untuk menghentam dan mempersalahkan beliau atas kegagalan pasukan, seolah-olah segala titik peluh pengurus tersebut sejak enam tahun lalu tidak mendatangkan apa-apa erti sama sekali.
Jika diteliti, tidak sukar untuk difikirkan bahawa masalah yang melanda pasukan kebangsaan Brazil bukanlah daripada segi kualiti pemain, kerana negara mereka tidak pernah sesekali ketandusan pemain berbakat dan berkelas dunia.
Sememangnya gabungan Ronaldo, Rivaldo dan Ronaldinho membuka jalan untuk kejayaan pada 2002, tetapi pada tahun 2006, kekalahan mereka di peringkat suku akhir tetap berlaku biarpun Ronaldo dan Ronaldinho masih kekal beraksi dan diperkuatkan dengan bintang-bintang baru seperti Kaka dan Adriano ketika itu.
Dalam edisi Piala Dunia di Qatar baru-baru ini, barisan penyerang Brazil dianggotai pemain-pemain yang kesemuanya merupakan kesebelasan utama untuk kelab masing-masing, antaranya Vinicius Jr, Neymar dan Richarlison.
Sewaktu aksi separuh masa pertama menentang Korea Selatan, persembahan mereka menggambarkan erti 'bola sepak Samba' sepenuhnya, seolah-olah tiada kuasa yang mampu menghalang kemaraan mereka.
Namun, ada waktunya juga mereka kelihatan buntu dan tidak bermaya, seperti ketika aksi peringkat kumpulan menentang Switzerland yang menunjukkan formasi bertahan sepenuhnya.
Nama-nama besar dalam dunia pengurusan seperti Pep Guardiola dan Carlo Ancelotti kini mula disebut-sebut sebagai calon yang wajar dicuba untuk mendatangkan pembaharuan yang diperlukan.
Guardiola bagaimanapun menamatkan segala ura-ura setelah menandatangani kontrak baru bersama Manchester City manakala Ancelotti pula dipetik sebagai berkata dia akan kekal bersama Real Madrid sekurang-kurangnya sehingga 2024 melainkan dia dipecat sebelum itu.
Tokoh seperti Ancelotti yang mampu mengasah bakat pemain seperti Kaka dan Vinicius Jr dari usia muda sehinggalah menjadi bintang terkemuka adalah kriteria utama yang dicari-cari dan diperlukan Brazil ketika ini -- selain pengurus yang berpengalaman mengendalikan ego pemain-pemain dengan nama besar.
Malang sekali, sekuat manapun ura-ura tentang pelantikan pengurus-pengurus luar ini, kebanyakan media Brazil setakat ini nampaknya teguh dengan pendirian bahawa jawatan pengurus pasukan kebangsaan haruslah dikhaskan buat mereka dari negara sendiri sahaja, kerana ia merupakan satu penghormatan dan pencapaian terbesar yang mampu dikecapi oleh seseorang yang bergelar warganegara Brazil.
Adakah penghormatan itu wajib disertakan sekali dengan pakej penghamburan kekejian dan caci-maki setiap kali pasukan kebangsaan tewas, itu persoalannya?
Tidak kira apa pun keputusan Brazil pada masa akan datang, apa yang pasti adalah akan ada sahaja pihak yang tidak berpuas hati pada akhirnya.
#Brazil
;