RENCANA

Terlucutnya mahkota Usain Bolt (bhg 2)

Shaukei Kahar 06/08/2017 | 11:14 MYT
Christian Coleman, jaguh University of Tennessee yang menjuarai acara 100 dan 200 meter Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej-Kolej (NCAA) Amerika Syarikat tahun ini sebelum beralih menjadi atlet profesional, lebih dahulu mengatasi Usain Bolt.
Dia menewaskan legenda dari Jamaica itu dalam saringan separuh akhir yang sengit, dengan mengakhiri rentetan 28 kemenangan berturut-turut lawannya itu.
Tapi Bolt nampak bersahaja, dengan berpaling kepada pesaingnya yang lebih muda itu sambil mereka melintasi garisan penamat – seolah-olah menyatakan masih banyak boleh dijangkakan daripadanya apabila tiba ke perlumbaan kemuncak.
Coleman membalas renungan tajam Bolt dengan meninggalkan lawannya itu dari blok permulaan dalam final. Walaupun ia satu lumrah untuk Bolt berlepas lewat dan memintas pelari lain selepas jarak 60 meter, namun tiada ulangan sedemikian kali ini.
Bolt sudah terlalu biasa membuat kemenangan kelihatan amat mudah – melintasi garisan penamat di bawah kepantasan maksimum dengan mendepangkan tangan dan senyuman lebar di wajahnya.
Tapi tiada riak sedemikian dalam final. Tatkala Bolt menjulurkan kakinya melintasi garisan penamat, hanya ada kerutan di wajahnya, dengan mata terbuka luas dan mulut yang terlopong. Raut wajahnya menyerlahkan kebimbangan sambil dia berpaling ke skrin gergasi untuk mendapatkan kepastian.
“Selepas saringan separuh akhir dengan Coleman, saya tahu jika saya gagal membuat pelepasan yang baik, saya akan berdepan masalah besar,” kata Bolt. “Dan ketika saya melonjak daripada blok pelepasan, saya seperti mengeluh, ‘Awww.’”
Ia adalah pingat gangsa pertama buat Bolt dalam Kejohanan Dunia, dan ia meninggalkan penonton hingar-bingar dengan kehairanan dan kekecewaan.
Mereka datang beramai-ramai untuk menyaksikan Bolt mengakhiri kariernya dengan penuh bergaya – sorakan bersemangat dikhususkan buatnya ketika mengambil tempat di garisan permulaan sambil Justin Gatlin mengundang cemuhan.
Sebaliknya, ia bertukar menjadi getik gemilang buat Gatlin – di sebalik penggantungan keduanya gara-gara kesalahan doping bermula pada 2006 ketika dia adalah pelari pecut utama dunia.
Sejak itu juga, dia berada dalam bayang-bayang Bolt dalam perseteruan yang sentiasa sengit, khususnya dalam final 100m Kejohanan Dunia 2015 di Beijing yang hanya dimenangi Bolt dengan 1/100 saat serta dijulang selaku ‘penyelamat’ acara trek dan padang.
Pernah juga berlaku beberapa insiden ketegangan di antara mereka, tetapi semalam, kedua-duanya menyangkal cadangan bahawa kemenangan Gatlin – yang turut menjalani penggantungan kali pertama selama setahun pada 2001 – adalah satu tamparan besar kepada sukan ini.
Bolt memeluk pesaingnya itu sambil mengucapkan tahniah di atas trek dan kemudian mempertahankan hak Gatlin untuk berlumba setelah menyelesaikan hukumannya.
Gatlin, pelari tertua yang memenangi satu acara lumba lari selain marathon dalam Kejohanan Dunia, berkata dia cuba memekakkan telinganya terhadap cemuhan penonton.
“Adalah malang ejekan terhadap saya lebih nyaring daripada sorakan kepada peserta lain.
“Di akhir perlumbaan, saya membuat tunduk hormat kepada Usain dan memberi sanjungan kepadanya. Ini masih satu malam yang magis buat acara trek dan padang dan juga buat Usain Bolt. Banyak yang sudah dilakukannya.”
(bersambung)
;