Tahniah Datuk Mirnawan Nawawi

Bazly Azmi
Oktober 24, 2016 08:17 MYT

Saya tumpang bangga melihat bekas kapten hoki negara, Mirnawan Nawawi dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran datuk sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

Ia sebagai menghargai bekas penyerang terbilang ini yang tiga kali layak ke Sukan Olimpik dan dua penampilan Piala Dunia.
"Ini pencapaian terbesar dalam karier hoki. Tidak sangka selepas lebih sedekad bersara, saya dihargai seperti ini. Saya harap lebih ramai lagi bekas atlit negara dapat penghargaan selagi mereka masih hidup," kata penyerang kelahiran Melaka itu.
Sesiapa yang sempat menyaksikan kehebatan Mirnawan pada era 90-an pasti kagum dengannya.
Saya masih ingat gol menakjubkan daripada penyerang genius itu ketika menentang India pada Piala Dunia 2002 di Bukit Jalil.
Rakan sepasukan, mendiang Chua Boon Huat melakukan hantaran dalam kawasan D dan dia melakukan lantunan tanpa melihat pintu gol, seperti ada mata di belakang kepalanya.
Ia adalah antara gol terbaik dalam sejarah dunia hoki.
Selepas bersara pada 2002, beliau masih terbabit dengan dunia hoki.
Beliau bertindak sebagai Pengurus Skuad Projek 2013 yang cipta banyak kejayaan sensasi termasuk juara Piala Remaja Asia 2012, Juara Piala Sultan Johor 2012 dan tangga keempat Piala Dunia Remaja 2013.
Sebagai individu, beliau seorang yang banyak idea.
Tidak kira dalam aspek sukan, perniagaan atau keluarga, beliau dapat menyusun semua itu dengan baik.
Pemain sedia ada patut mencontohi bekas kapten negara ini yang masih dihormati walaupun sudah 14 tahun menggantung kayu hoki.
Buat Datuk Mirnawan Nawawi, anda sudah mengecap pelbagai kejayaan sebagai pemain, ahli perniagaan dan pengurus pasukan. Bila lagi mahu bergelar jurulatih negara?

;