RENCANA

'Surprise line-up' julang JDT

Zulhelmi Zainal Azam 05/11/2017 | 13:00 MYT
"Wow, Ghaddar tak main!", itu reaksi penulis sebaik menerima 'start list' atau senarai pemain bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 di antara Kedah dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Shah Alam, semalam.
Tambah mengejutkan penulis apabila jurulatih JDT, Ulisses Morais, juga tidak menurunkan Junior Eldstal dan Afiq Fazail dalam kesebelasan utamanya, di mana ketiga-tiga pemain itu sebenarnya kerap menjadi taruhan utama sebelum ini.
Sebaliknya, Morais menurunkan pemain yang jarang beraksi membabitkan tiga pemain di tiga posisi berbeza iaitu penyerang, Ahmad Hazwan Bakri, pemain tengah, Gary Steven Robbat, dan pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak.
Tatkala Hazwan menggantikan Mohamed Ghaddar selaku penggempur utama, Gary pula mengambil alih tempat Afiq di posisi tengah bertahan, manakala Aidil menggantikan Junior untuk mengemudi benteng JDT bersama Fadhli Shas.
Meskipun pertukaran tiga pemain itu tidak mengubah percaturan taktikal Morais menerusi formasi 4-3-3, tetapi kelibat mereka tampak memberi impak berbeza kepada skuad Harimau Selatan dengan peranan cemerlang masing-masing.
Pada hemat penulis, pemilihan ketiga-tiga pemain itu mungkin berdasarkan faktor pengalaman.
Hazwan, walaupun kurang mendapat tempat dalam skuad JDT tetapi pengalamannya beraksi dua kali di pentas final Piala Malaysia pada 2015 dan 2016 amat berguna buat Morais mendapatkan keputusan positif.
Malah, dalam dua edisi lalu dia berjaya menjaringkan gol dan penampilannya pada semalam menjadikan beliau antara pemain tempatan yang sudah beraksi dalam tiga perlawanan akhir berturut-turut.
Begitu juga dengan Aidil. Bayangkan dia tidak bermain dalam skuad utama JDT sejak kebekalangan ini, tetapi dengan kemampuan serta pengalamannya, Aidil ditagih dalam aksi final.
Sudah pasti, Morais melihat kepada pengalaman pemain berusia 30 tahun itu beraksi dalam empat penampilan perlawanan akhir untuk diletakkan dalam kesebelasan utama berbanding Junior.
Berbanding Aidil dan Hazwan, Gary sebenarnya sejak kebekalangan ini sudah mula mendapat kepercayaan Morais dan dia kerap juga bersilih ganti bersama Afiq untuk bergandingan dengan Natxo Insa sebagai pemain tengah bertahan.
Namun, ia sedikit mengejutkan kerana Afiq yang juga adik kepada bekas bintang Harimau Muda, Irfan Fazail, menunjukkan aksi cemerlang sejak akhir-akhir ini.
Kesimpulannya, antara kunci kejayaan JDT memenangi trofi berprestij itu kali ini adalah elemen 'surprise' yang dilakukan Morais terhadap kesebelasan utamanya apabila lawan juga tampak terpaku dengan perubahan tersebut.
;