RENCANA
Sumbangan pakar pasukan bola sepak
Cuba perhatikan gambar ini. Ini adalah antara anggota skuad bawah 20 tahun Perancis yang berlatih di Kuala Lumpur menjelang saingan suku akhir dengan Uruguay pada Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun, 19 tahun yang lalu.
Dari kiri (berjersi biru) Philippe Christanval, Medhi Leroy, William Gallas, Mickael Landreau, Lilian Compan, Cedric Mouret dan David Trezeguet.
Christanval, Gallas, Landreau dan Trezeguet seterusnya menyarung jersi senior Perancis. Turut berada dalam skuad bimbingan Gerard Houllier waktu itu ialah Thierry Henry, Willy Sagnol dan Nicolas Anelka.
Iklan
Namun penulis mahu pembaca kenali invididu berjersi putih.
Dia ialah Christophe Geoffroy, seorang pakar kinesiologi.
Geoffroy, jika anda perasan, adalah antara individu yang duduk di bangku pasukan Perancis di Euro 2016.
Tugasnya bukan terhad kepada memberi bekas minuman untuk pemain yang dahaga, membasahkan tekak.
Kinesiologi adalah gabungan dua perkataan – kinesis dan logos. Kinesiologi adalah ilmu gerak tubuh manusia yang berkesan berpandukan kepada rangka, otot dan hukum mekanik.
Ringkasnya, kinesiologi adalah gabungan ilmu anatomi, fisiologi dan biomekanik.
Ketua Pusat Pengajian Sains Sukan, UiTM, Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, yang pernah menjadi perunding Liverpool FC selain mengendalikan ujian kecergasan untuk akademi kelab itu, berkata: "Di Amerika Syarikat, kinesiologi adalah sains sukan. Di United Kingdom dan Australia, kinesiologi dianggap satu disiplin dalam sains sukan, iaitu kajian hukum biomekanik pergerakan tubuh manusia.”
Secara rasmi, Geoffroy, 52, adalah antara tiga pakar fisioterapi yang membantu Didier Deschamps mengurus kecederaan bintang-bintang seperti Paul Pogba, Dimitri Payet dan Anthony Martial.
Geoffroy menulis banyak buku, termasuk garis panduan regangan dan senaman selain sebuah naskhah bertajuk Sport, L’Espirit Tranquille (Sukan, Kesihatan Minda) yang dibahagikan kepada lima bahagian - lelebihan aktiviti fizikal dan pemakanan yang betul, langkah pencegahan kecederaan kulit, otot, tulang dan tisu lain, ketiga persekitaran seperti latihan di paras tinggi, cuaca dan keempat proses pemulihan serta kelima farmasi.
Begitulah dunia bola sepak moden. Banyak buku dan majalah yang menceritakan kisah di sebalik tabir sumbangan pakar bidang masing-masing dalam membentuk team juara.
Sama ada dia tukang masak, tukang urut, pakar kecergasan dan pegawai media, setiap daripada mereka adalah komponen-komponen yang menyumbang kepada sukses.
Bila agaknya sekumpulan pakar sains sukan ditindik bersama secara terus dengan pasukan kebangsaan tanpa bergantung kepada Institut Sukan Negara (ISN)?
Must-Watch Video