Sukma medan utama kenal pasti bakat Olimpian negara
Hadafi Fitri Mohd Latip
Ogos 18, 2024 16:24 MYT
Ogos 18, 2024 16:24 MYT
Sukma (Sukan Malaysia) merupakan satu platform penting dalam arena sukan negara yang berfungsi sebagai medan utama untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat-bakat muda di Malaysia.
Sejak penubuhannya, Sukma telah menjadi acara sukan yang paling dinantikan, di mana atlet-atlet muda dari seluruh negeri berkumpul untuk bersaing dalam pelbagai disiplin sukan. Acara ini bukan sahaja menawarkan peluang untuk atlet muda menunjukkan kebolehan mereka, tetapi juga menjadi langkah awal bagi mereka yang bercita-cita untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa dan kejohanan dunia.
Peranan Sukma dalam mengenal pasti bakat muda adalah sangat signifikan. Melalui pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan, jurulatih dan pengurus sukan dapat mengenal pasti atlet-atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang dan mempunyai potensi besar. Sukma adalah peluang yang berharga untuk mengesan atlet yang mempunyai cita cita yang tinggi dan mempersiapkan mereka untuk cabaran yang lebih besar. Sukma juga memberikan ruang kepada atlet muda untuk menonjolkan bakat mereka dan membuktikan bahawa mereka layak untuk mendapatkan perhatian di peringkat kebangsaan dan diserap masuk kedalam program kebangsaan.
Selain itu, Sukma juga menjadi platform untuk pembangunan atlet. Program latihan yang intensif sebelum dan semasa Sukma membantu atlet muda memperbaiki teknik, stamina, dan strategi mereka. Latihan ini bukan sahaja mempersiapkan mereka untuk pertandingan Sukma, tetapi juga sebagai persiapan awal sebelum mereka melangkah ke kejohanan serantau atau dunia. Dengan adanya latihan yang teratur dan bimbingan daripada jurulatih berpengalaman, atlet-atlet muda ini berpeluang untuk mengasah bakat mereka ke tahap yang lebih tinggi. Bakat inilah yang akan mengharumkan nama negara di peringkat dunia. Justeru itu, mereka juga perlu diberi Pendidikan sains sukan agar mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang tinggi, apa yang perlu dilakukan untuk menjadi jaguh dunia.
Sukma juga memberi peluang kepada atlet muda untuk merasai pengalaman bersaing di peringkat kebangsaan dan mewujudkan semangat juang tinggi untuk mengharumkan nama negeri. Pengalaman ini amat penting untuk membina keyakinan diri dan mengasah mentaliti juara di kalangan atlet muda. Mereka juga dapat berinteraksi dengan atlet dari seluruh negara, yang mana interaksi ini boleh membentuk semangat kesukanan dan membina jaringan sukan yang bermanfaat untuk kerjaya mereka di masa hadapan. Atlet negeri lain itu juga mungkin 1 hari nanti adalah merupakan rakan sepasukan bertanding di kejohanan dunia. Jadi hubungan itu perlu dibentuk sejak awal lagi bagi membina keserasian dalam pasukan kebangsaan.
Bakat muda yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Sukma perlu diberikan pengiktirafan yang sewajarnya dengan peluang untuk menyertai program pembangunan sukan elit. Ini termasuk akses kepada latihan lanjut, sokongan bimbingan, dan peluang untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Mereka juga perlu diberi pendidikan sains sukan sekurang kurangnya sijil sains sukan tahap 1,2 dan 3. Penilaian yang berterusan terhadap prestasi atlet juga perlu dijalankan untuk memastikan bakat mereka terus dipantau dan dijaga dengan baik, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapi cabaran di pentas yang lebih besar dan rasa dihargai oleh pihak yang berkaitan.
Selain itu, kerjasama antara Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia dan Universiti perlu diperkukuhkan untuk memaksimumkan manfaat Sukma. Kita tidak mahu acara Sukma yang di anjurkan hanya sekadar retorik dan pelengkap acara tahunan sahaja. Pastikan skuad scouting kebangsaan benar benar diberi mandat dan kuota untuk membawa masuk atlet berbakat ke program Elit kebangsaan. Atlet muda yang terpilih di peringkat kebangsaan perlu diberi Pendidikan sewajarnya seperti diploma ataupun degree dalam mengimbangi antara akademik dan latihan sukan. Ini memastikan bahawa atlet ini tidak hanya berjaya dalam sukan, tetapi juga dalam pelajaran, membentuk individu yang seimbang dan mempunyai kareer masa depan yang baik. Dengan mempunyai diploma atau degree mereka boleh bertugas di mana mana unit sukan selepas bersara sekaligus melahirkan bakat jaguh sukan seperti mereka.
Dalam masa yang sama, pembangunan bakat muda haruslah dilihat dari sudut jangka masa panjang dimana memerlukan dana dan pelaburan yang berkesan. Sukma bukan sekadar mengenai kejayaan jangka pendek, tetapi lebih penting lagi adalah pembangunan berterusan bakat-bakat ini. Program susulan perlu diwujudkan, termasuk kem latihan intensif, pertandingan peringkat tinggi, dan sokongan psikologi, untuk memastikan bakat muda terus berkembang dan mencapai potensi penuh mereka sebagai jaguh dunia 1 hari nanti. Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, Sukma akan menjadi lebih efisien dan bermakna dalam membangunkan bakat sukan negara, menjadikan mereka aset berharga untuk masa depan sukan Malaysia.
Kesimpulannya, Sukma memainkan peranan yang tidak boleh dipertikaikan sebagai medan untuk mengenal pasti, membangunkan, dan mempersiapkan atlet muda untuk menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa dan kejohanan dunia. Ramai atlet yang telah mencipta nama di peringkat dunia adalah bermula dari medan Sukma, dan ini jelas menunjukkan bahawa Sukma nadi utama kenalpasti bakat kebangsaan dan adalah asas yang kukuh dalam membentuk juara-juara sukan yang akan mengharumkan nama negara di pentas dunia. Dengan komitmen yang berterusan daripada semua pihak yang terlibat, Sukma akan terus menjadi platform yang menyumbang kepada kejayaan sukan Malaysia di masa hadapan. Hentikan politik dalam sukan kerana sukan bukan tempat untuk berpolitik. Akhir kata, dengan hikmah kita teroka, KERANA TUHAN UNTUK MANUSIA.
TS DR HADAFI FITRI MOHD LATIP,
PENSYARAH KANAN,
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA.