Skip to main content

Rencana

Sembunyi, Mourinho datang!

cover.jpg
Jose Mourinho sememangnya bukan satu nama asing dalam saingan bola sepak Eropah berbekalkan puluhan kejuaraan serta isu kontroversi dalam karier kejurulatihannya.

Tidak kira ketika di FC Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid mahupun Manchester United, dia membuktikan keupayaannya dengan pulangan trofi bersama kelab-kelab tersebut.

Namun, situasinya bersama United ketika ini membuatkan Mourinho sentiasa menjadi perhatian media ekoran prestasi yang tidak konsisten di peringkat domestik serta Eropah.



Selain kisah kejayaan serta kontroversi di atas padang, Mourinho juga sering dilabel sebagai pengurus 'toksik' dalam pembangunan pemain sambil menjadikan Mohamed Salah dan Kevin De Bruyne sebagai contoh mudah ketika di Stamford Bridge.

Namun, terdapat juga beberapa pemain yang setia dan sentiasa menyinar di bawah kendalian Mourinho, salah satunya, Nemanja Matic.

Matic hadir di Old Trafford awal musim lalu selepas Chelsea membawa masuk Tiemoue Bakayoko sehingga menyebabkan kedudukan bintang tengah Serbia itu terjejas di bawah bimbingan Antonio Conte.

Dia pantas memberikan impak di bahagian tengah skuad The Red Devils setelah mewujudkan keseimbangan dalam kesebelasan utama pasukan bersama Paul Pogba.



Terbaru, Matic memberikan pendedahan bahawa pemain-pemain United akan bersembunyi sewaktu sesi latihan untuk mengelak daripada bersemuka dengan Mourinho sekiranya mereka mengalami kekalahan dalam sesuatu perlawanan, sekali gus menjelaskan mengenai ketegasan pengurus berusia 55 tahun itu.

"Mourinho seorang individu hebat," kata Matic.

"Dia berdepan tekanan kuat kerana semua pihak menjangkakan kemenangan daripadanya. Jika tewas, semua orang mahu menyaksikan reaksinya.

"Mourinho sukakan kemenangan dan apabila kami tewas, semua pemain akan bersembunyi dan mengelak daripada berdepan dengannya."



Situasi yang dinyatakan Matic itu membuktikan bahawa Mourinho sememangnya memiliki cara tersendiri dalam menguruskan pasukan sehingga mendatangkan rasa hormat dan gerun dalam kalangan pemain terhadapnya.

Mungkin Mourinho bukan seorang pengurus yang sentiasa memberikan mimik muka di padang atau mempamerkan keakrabannya bersama pemain tetap dia tetap dihormati sebagai seorang ketua jurulatih.

Advertisement

Must Watch Video