RENCANA
Selamat Kembali Evra!
Siapa tidak kenal dengan Patrice Evra. Mencipta nama di Monaco sebelum beraksi di Old Trafford sebanyak 273 kali. Evra kemudian berhijrah ke Turin bersama Juventus sebelum kembali ke Perancis bersama Marseille pada 2017.
Dia merupakan antara pertahanan kiri terbaik di Manchester United yang terkenal dengan larian deras dan hantaran silang berbahaya. Namun langit tidak selalu cerah, Evra turut dikenali dengan sikap nakalnya di dalam dan luar padang. Selain isu dengan Luis Suarez, dia pernah menjadi kapten Perancis dan memboikot sesi latihan selepas tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan. Tindakannya menyaksikan Perancis tewas di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Dunia 2010.
Terbaru pada 2017, Evra melakukan aksi kungfu ke atas penyokong kelab yang menyaksikannya dibuang daripada kelab Marseille dan digantung daripada terlibat dengan aksi bola sepak Eropah selama tujuh bulan.
Kini, Evra kembali semula ke Liga Perdana Inggeris, namun bukan bersama The Red Devils tetapi menyertai West Ham United. Pengendali The Hammers, David Moyes, masih mempercayai kudrat orang lama seperti Evra yang bakal bergandingan dengan Pablo Zabaleta dan juga Jose Fonte.
Tatkala Manchester United akan berdepan West Ham United pada bulan Mac nanti di Stadium London, Dayang tak sabar kerana pasti ia akan menggamit memori buat Evra andai diturunkan dalam kesebelasan utama nanti.