RENCANA

Schooling bukti mampu bersaing dengan perenang elit dunia

Ammar Hakim 30/07/2017 | 07:38 MYT
Pada Ogos tahun lalu, perenang Singapura, Joseph Schooling, berjaya memahat namanya sebagai pemenang pingat emas Sukan Olimpik dalam acara 100 meter gaya kupu-kupu.
Mencatatkan masa 50.39 saat menewaskan perenang Amerika Syarikat, Michael Phelps, dan Laszlo Cseh dari Hungary, sekaligus memperbaharui rekod Olimpik dan menghadiahkan negaranya pingat emas pertama dalam temasya yang berprestij itu.
Bagaimanapun, dia sekadar memenangi pingat gangsa dengan catatan masa 50.83s dalam Kejohanan Akuatik Dunia FINA 2017 selepas tewas kepada Caeleb Dressel dari Amerika Syarikat (49.86s) dan Kristof Milak dari Hungary (50.62s), semalam.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Walaupun tewas, Schooling telah membuktikan bahawa atlet dari rantau Asia Tenggara mampu memberikan saingan dan kemenangannya dalam Sukan Olimpik bukanlah tuah semata-mata.
Ternyata, perenang sensasi ini akan cuba merampas semula gelaran itu dalam Kejohanan Dunia 2019 di Gwangju, Korea Selatan serta di Sukan Olimpik 2020 Tokyo.
"Dalam setiap sukan, kita memerlukan seorang pesaing yang akan memberikan semangat untuk kita terus berusaha dengan gigih. Seteru Phelps adalah Ian Thorpe dan Milorad
Cavic. Saya tidak membandingkan diri saya dan Caeleb seperti mereka tetapi kami menjanjikan saingan yang sengit sehingga Tokyo 2020," katanya.
Dengan berbaki 19 hari sebelum Sukan SEA bermula, Schooling akan bertandang ke negara kelahiran ibunya, Malaysia, untuk mengetuai skuad renang Singapura.
Memenangi sembilan pingat emas dalam edisi ke-28 di Singapura, dia tidak akan menghadapi masalah yang besar untuk meraih kejayaan dan bakal memberikan tentangan yang sengit kepada jaguh renang negara, Welson Sim, dalam acara 200m gaya bebas.
"Jika Schooling mengambil bahagian dalam acara 200m gaya bebas, sukar untuk saya menewaskannya. Prestasinya meningkat dengan pantas sejak Sukan SEA yang lalu," kata Welson menerusi laman akhbar The Star.
Welson, yang turut membuat penampilan dalam Sukan Olimpik 2016, akan menjadi harapan Malaysia dalam Sukan SEA nanti, dengan mempertahankan pingat emas dalam acara 400m dan 1,500m gaya bebas.
Bagaimanapun, pencapaian yang diraih oleh Schooling di peringkat antarabangsa adalah sesuatu yang dapat diambil sebagai kayu pengukur dan motivasi buat setiap perenang negara di masa akan datang.
;