RENCANA
Satu legasi kelompok bekas pemain bola sepak
Ridzuan, bekas pemain Melaka, Kuala Lumpur, KL Plus, Felda United dan Telekom Melaka adalah pencetus idea dan penulis buku Teknik Awalan Bola Sepak yang laris bak pisang goreng panas.
Benar sebelum ini buku yang menunjukkan teknik betul dalam bola sepak banyak diterbitkan tetapi sumbangan bekas pemain terbatas kepada pra-kata sebagai tanda sokongan.
Apabila penulis bertemu dengan Ridzuan di Stadium Selayang ketika menyaksikan aksi PKNS FC dengan Pahang dalam saingan Piala Malaysia, topik perbualan kami berkisar kepada buku yang waktu itu sedang menembusi pasaran.
Asalnya Ridzuan berdepan masalah untuk mendapatkan bantuan kewangan dalam menerbitkan buku itu.
Kesudahannya Ridzuan mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan dengan sokongan rakan-rakan, buku itu akhirnya diterbitkan.
Menariknya Ridzuan menggembleng tenaga rakan-rakannya seperti Farid Dewan, Norhafiz Zamani Misbah, Azrin Shah Zainal, Azlan Meri dan Yazid Yassin untuk menjadi model menunjukkan cara dan kaedah menyempurnakan kemahiran asas dalam bola sepak, misalnya cara membuat sepakan dalam kaki (inside foot), luar kaki (outside foot), sepakan deras, tandukan lompat dan menggelecek.
Dengan dibahagikan kepada beberapa segmen termasuk regangan, kecederaan sukan dan petua pemakanan, buku itu dianggap sesuai dijadikan asas-asas permulaan untuk kanak-kanak berusia bawah 10 tahun untuk berjinak dengan bola sepak.
Isnin lalu Ridzuan dipelawa sebagai tetamu bersama seorang jurulatih kecergasan Mohd Saifulnazim Iskandar Mohd Salleh untuk membincangkan mengenai buku itu selain membincangkan topik kecergasan atlet.
Ridzuan mendedahkan bekas pemain skuad Piala Dunia Belia 1997, Abdul Rauf Ahmad yang kini menjadi usahawan berjaya, diberi hak mengedarkan buku berkenaan.
“Buku ini tidak akan menjadi realiti tanpa pembabitan dan kerjasama sepasukan dengan rakan-rakan lain,” kata Ridzuan.
Ridzuan juga sedang berusaha meyakinkan beberapa agensi kerajaan untuk menjadikan buku itu sebagai bahan rujukan.
“Ini sebagai warisan daripada pemain kepada generasi pemain akan datang,” katanya.