RENCANA
Sasar emas Sukan SEA dan kejuaraan AFF
Tidak dinafikan, kegagalan skuad B-22 dan senior kebangsaan mencapai sasaran di saingan kelayakan AFC B23 dan Piala Airmarine lalu mengecewakan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.
Namun, pada penulis kita kini perlu pandang ke depan dalam memastikan kebangkitan segera di pentas antarabangsa.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini perlu merangka perancangan jangka pendek berkesan untuk memastikan skuad B-22 dan senior berupaya meraih emas Sukan Sea 2019 dan Piala AFF Suzuki 2020.
Iklan
Jika berjaya, ia secara tidak langsung mengembalikan bola sepak negara ke landasan tepat dalam perancangan F30 FAM.
Beberapa aksi persahabatan B-22 perlu terus dirangka selain aksi senior di tarikh aksi perlawanan antarabangsa FIFA.
Selain memastikan skuad senior tampil ampuh dalam Piala AFF Suzuki 2020, FAM perlu memastikan barisan negara akan bersedia menghadapi play-off kelayakan Piala Dunia 2022.
Penulis masih optimis Harimau Malaya berupaya bangkit selepas ini, cuma perancangan buat skuad B-22 dan senior perlu membolehkan Datuk Ong Kim Swee serta Tan Cheng Hoe membentuk barisan mantap.
Kini, dengan saingan kelayakan AFC B-23 sudah berakhir, penulis percaya Cheng Hoe wajar diberikan keutamaan membariskan pemain B-22 terbaik untuk skuad senior menghadapi play-off kelayakan Piala Dunia.
Kelibat Syahmi Safari, Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid jelas mampu menambah stabiliti dan keampuhan skuad senior.
Dan mungkin, beberapa bulan menjelang Sukan Sea kesemua pemain itu boleh kembali menguatkan barisan Kim Swee.
Bagi penulis juga, ia bukan mustahil untuk kembali meraih emas Sukan Sea dan Piala Suzuki, kerana kita sudah pun melakukannya sebelum ini.
Semoga perancangan FAM buat skuad B-22 dan senior mampu meraih keputusan positif yang kita harapkan.
Must-Watch Video