Skip to main content

Rencana

Sabar Wan Zack Haikal

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wan-zack.jpg
Semua pemain bola sepak sudah pasti tidak sabar untuk kembali beraksi di pentas kompetitif selepas berehat semusim dan situasi itu yang dilalui Wan Zack Haikal Wan Noor bersama Selangor.

Sejak menandatangani kontrak bersama The Red Giants pada musim lalu, dia gagal melakukan sebarang penampilan bagi tahun 2019 selepas mengalami kecederaan lutut (ACL) yang serius sehingga memaksa jurulatih, B. Satianathan, melupakan khidmatnya buat sementara.

Lebih perit untuk ditanggung, ia bukan kali pertama pemain kelahiran Pahang itu mengalami masalah di bahagian lutut selepas turut mengalami kecederaan sama di bahagian lutut kanan pada 2013 sehingga menyebabkan kontraknya bersama kelab Jepun, FC Ryukyu, tidak disambung.

Penantian untuk menyarung jersi keramat skuad Merah Kuning akhirnya berakhir apabila dia masuk selaku pemain gantian ketika menentang Bangkok United dalam aksi Selangor Asia Challenge (SAC) 2020, Ahad lalu.

Namun, ia tidak seindah seperti diharapkan buat Pemain Paling Bernilai Pestabola Merdeka 2013 itu apabila hanya mampu beraksi beberapa minit sebelum terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan hamstring. Selangor tewas dalam perlawanan tersebut menerusi penentuan sepakan penalti 2-4.

Kecederaan yang dialami mungkin memaksa Wan Zack terlepas saingan pembukaan Liga Super musim 2020 tetapi keyakinan Satianathan diharapkan memberikan pulangan buat The Red Giants untuk akhirnya menikmati aksi lincah pemain sayap itu.

Buat Wan Zack, bersabarlah. Aksi terbaik anda sentiasa dinantikan penyokong Merah Kuning.

*Kredit foto: Vocket FC

Advertisement

Must Watch Video