RENCANA
Russia 2018: Otamendi pemain paling kotor
Nyanyian ‘Jangan ditangisi untukku, Argentina’ harus amat bertepatan buat pemain pertahanannya, Nicolas Otamendi.
Berbanding simpati sebahagian terhadap Lionel Messi yang menempa satu lagi kegagalan di pentas utama, penyingkiran Argentina mungkin dianggap berpadanan dengan Otamendi – pemain paling kotor yang mengundang cemuhan ramai.
Andai dibandingkan dengan siri rempuhan keras Sergio Ramos sehinggalah kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti kepada tuan rumah, Russia, Ahad lalu, harus kapten Sepanyol itu diumpamakan dengan seekor kucing Siam yang jinak.
Tidak hanya kehilangan tempat dalam suku akhir angkara kekalahan 4-3 kepada Perancis, Sabtu lalu, bek tengah, Otamendi, turut kehilangan rasa hormat rakan-rakan pemain profesional.
Pemain pertahanan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, itu ditelanjangi sebagai kurang bersemangat kesukanan kerana menyepak bola ke kepala pemain lawan yang sedang terlantar – bukan hanya sekali tapi dalam dua perlawanan berbeza.
Netizen melalui Twitter tidak menyembunyikan keberangan mereka dengan menuntut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menilai semula kedua-dua insiden berkenaan agar Otamendi dikenakan penggantungan sewajarnya.
.jpg)
Dalam kekalahan 0-3 Argentina kepada Croatia di peringkat kumpulan, bek tengah itu menyepak bola ke kepala Ivan Rakitic yang sedang terbaring hingga mencetuskan campur tangan pemain kedua-dua pasukan.
Jelas seorang yang tidak dapat menerima kekalahan, dia mengulangi gelagat buruknya itu Sabtu lalu apabila Argentina disingkirkan Perancis.
Berbanding perbuatan pertamanya apabila dia terlepas tindakan, tindakan serupanya ke kepala Paul Pogba – kedua-duanya saling mengenali dan seteru rapat dalam EPL – menyebabkannya dilayangkan kad kuning di samping mencetuskan insiden tolak-menolak pemain kedua-dua pasukan.
.jpg)
Setakat ini, baru empat kad merah dilayangkan dalam Piala Dunia Russia, dengan yang terbaru, pertahanan Switzerland, Michael Lang, menerima hukuman itu dalam kekalahan 0-1 kepada Sweden, malam tadi.
Terdahulu, Carlos Sanchez (Colombia), Jerome Boateng (Jerman) dan Igor Smolnikov (Russia) turut diusir keluar padang di sebalik tiada seorang pun daripada mereka yang melakukan kesalahan kurang ajar seperti Otamendi.
Dalam mana-mana kejohanan pun, akan ada pemain yang gemar dibenci ramai – mereka yang kesukaannya mengasari penyerang lawan daripada berpeluang membuat jaringan, yang akan melakukan apa saja demi kelebihan pasukannya.
Semua pasukan akan mempunyai seorang atau dua pemain seperti ini dan boleh juga diperdebatkan, semua pasukan memerlukan pemain seumpamanya untuk memenangi perlawanan.
Lagipun, bola sepak bukan hanya berkisar kepada skil dan permainan cantik kerana ada kalanya ‘seni hitam’ dituntut apabila perlu.
Tapi mengatasi semua itu, perbuatan Otamendi – bekas seorang peninju remaja di La Paloma di pinggir Buenos Aires sebelum beralih kepada bola sepak -- ternyata sudah keterlaluan.