Skip to main content

Rencana

Rombakan Skuad Ragbi 7's, wajar?

ragbi.jpg
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengorak langkah bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dalam membangunkan semula skuad ragbi 7 sepasukan negara dengan meletakkan Sukan Asia di Nagoya, Jepun pada 2026 sebagai sasaran utama.

Ada yang kecewa dengan perkhabaran ini, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan bekas ketua pasukan, Zulkiflee Azmi, yang pernah dinobatkan Pemain Lelaki Terbaik Peringkat Antarabangsa bagi kategori 7 sepasukan dalam Anugerah Ragbi Kebangsaan 2019.

Perasaan itu lahir selepas Zulkiflee menjelaskan pasukannya menunjukkan peningkatan positif dari semasa ke semasa. Dia turut berasa tawar hati jika dipanggil bekerjasama bersama skuad kebangsaan selepas ini, alasannya kekangan dalam memastikan kecergasan di tahap tertinggi jika tidak berada di bawah program selepas ini.

Bagaimanapun, presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, menjelaskan antara faktor skuad 7 sepasukan negara dirombak adalah untuk memberikan tumpuan kepada pasukan pelapis agar mereka dapat berada di tahap yang matang dalam tempoh enam tahun dari sekarang.

Selain itu, rata-rata kejohanan sepanjang tahun ini turut dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

"Kami sudah berbincang dan MSN mencadangkan supaya kami mengadakan satu perancangan jangka panjang yang baru."

"Oleh kerana Sukan SEA 2021 di Vietnam dan Sukan SEA 2023 di Kemboja berkemungkinan tidak mempertandingkan sukan ragbi 7's, MSN mencadangkan program itu menyasarkan Sukan Asia 2026."

Dalam masa sama, KRM dan MSN tidak akan meminggirkan pemain-pemain sedia ada dengan kontrak mereka yang sepatutnya tamat pada Disember depan akan dipanjangkan selama tiga bulan lagi.

Bagi Shahrul Zaman, kudrat pemain negara memiliki kualiti eksport yang dipandang tinggi oleh pasukan dari luar negara.

"Kami mencuba untuk meletakkan mereka dalam pasukan profesional kerana pengalaman yang dimiliki mereka selepas empat tahun dalam program kebangsaan sudah pasti membantu mereka".

"Dan selayaknya mereka ke satu tahap yang lebih tinggi bersama pasukan profesional dan sebagainya," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video