Skip to main content

Rencana

Rodriguez ancam tambah derita Liverpool

james-cover-pix.jpg
Everton berada di puncak liga, Liverpool pula masih memulihkan diri selepas dibelasah -- keadaan yang jarang kelihatan ini meningkatkan lagi rasa teruja menantikan ‘Merseyside Derby’ esok (7.30 malam waktu Malaysia).

Persembahan hebat Everton musim ini seharusnya berpunca daripada pemain pembelian baru mereka, James Rodriguez.

Rodriguez sudah pun menjaringkan tiga gol dan membantu untuk membuat jaringan sebanyak dua kali setakat ini, maka Liverpool pastinya akan berusaha untuk menghalang bola daripada sampai ke kakinya di dalam perlawanan nanti.

Menurut laman sesawang express.co.uk, antara kritikan pedas yang diterima bintang Colombia itu sebelum ketibaannya adalah gaya permainan Rodriguez, satu gaya yang dikenali sebagai ‘Classic Number 10’, sudah ketinggalan zaman.

Dalam gaya permainan sebegini, pemain berjersi nombor 10 akan menjadi pemain utama yang bertugas untuk mencipta peluang menjaringkan gol di samping menghidu peluang untuk membolos jaring.

Ramai berpendapat Everton lebih memerlukan pemain yang rajin berlari dan kerap bergerak ke kawasan bahaya apabila bola berada dalam kawalan pasukan, ciri-ciri yang tidak diserlahkan oleh Rodriguez.

Namun, Rodriguez sebenarnya memainkan peranan pemain nombor 10 dengan gayanya yang tersendiri, dan perbezaan inilah yang menyumbang besar kepada kemenangan Everton setakat ini.



Kebiasaannya, pemain yang bertugas untuk mencipta peluang serangan akan beroperasi dari bahagian tengah, namun Rodriguez pula menduduki kawasan sayap kanan.

Ini membolehkan dia mencari lebih banyak ruang untuk menyerang kubu lawan kerana dia mempunyai pilihan sama ada untuk menggelecek ke bahagian tengah, melakukan hantaran lintang ke sayap kiri atau menantikan sahaja ketibaan bola di kawasannya.

Kawasan sayap kanan yang kurang dipenuhi pemain membolehkan Rodriguez merangka peluang terbaik untuk mencetuskan serangan, sebaliknya pilihannya adalah lebih terhad jika beroperasi di bahagian tengah padang. Inilah keistimewaan yang dibawanya. 

Pertembungan di antara Rodriguez dan pemain pertahanan kiri Liverpool, pemain yang dianggap sebagai bek kiri terbaik Liga Perdana Inggeris, Andy Robertson, pastinya menarik sekali.

Selain Robertson, bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold pastinya akan turut diuji sama.

Dalam strategi yang digunakan oleh Carlo Ancelotti, pemain tengah yang gagah, Abdoulaye Doucouré, serta bek kanan yang tidak kenal erti penat, Seamus Coleman, seringkali diarahkan untuk membantu Rodriguez di bahagian kanan padang.

Apabila bahagian kanan padang diserbu oleh lawan, Rodriguez akan menghantar bola ke kawasan kiri di mana Lucas Digne, antara pemain Everton yang paling banyak melakukan hantaran, mampu mencipta peluang untuk merobek gawang.

Adakah juara bertahan mampu bangkit semula dalam perlawanan penting sebegini? Atau adakah kita bakal melihat satu kuasa baru yang terus meningkat naik? 

Sama-sama kita saksikan siaran langsung ‘Merseyside Derby’ malam esok.

Advertisement

Must Watch Video