Rencana pendakian Barca baru bermula

Asmawi Bakiri
Februari 7, 2022 13:16 MYT
Xavi Hernandez, bekas kapten merangkap pemain legenda Barcelona, melakar 767 perlawanan rasmi, 85 gol dan 117 bantuan jaringan.
Kini legenda ini kembali ke pangkuan kelab untuk menggalas jawatan pengurus dengan satu tugasan teramat getir -- membangkitkan kembali gergasi yang telah jatuh dari takhta buat sekian lama.
Setibanya Xavi, antara perkara pertama yang dilakukannya adalah mengumumkan peraturan-peraturan baru buat pemain-pemain.
"Kami akan menerapkan peraturan baru yang ketat dan tegas. Sewaktu pasukan kami mengamalkan disiplin yang tinggi sebelum ini, segalanya baik-baik sahaja.
"Namun, setelah disiplin itu hilang, keadaan mula menjadi teruk. Kami harus profesional dari segi ini," ujar Xavi dalam temu bual bersama Sky Sports tahun lalu.
Antara peraturan baru yang diterapkan adalah pemain harus tiba 90 minit awal buat sesi latihan, mengenakan saman terhadap pemain yang lewat dan memantau pergerakan pemain di luar padang.
Setelah beberapa bulan di bawah kendalian Xavi, Barcelona nampaknya telah mencatatkan pembaharuan yang boleh dibanggakan.
Dalam 10 perlawanan La Liga, Barcelona menang enam kali, seri tiga dan hanya tewas sekali.
Semalam, Barcelona berhadapan pasukan penyandang juara, Atletico Madrid, dan berjaya mencatatkan kemenangan 4-2.
Sebelum perlawanan itu, pengurus Atletico, Diego Simeone, dipetik sebagai berkata: "Xavi pernah menyebut yang gaya bola sepak Atletico tidak sesuai untuk diamalkan oleh kelab-kelab besar.
"Sekarang ini, dia berpeluang untuk menunjukkan kepada kami gaya apakah yang sepatutnya dimainkan."
Ternyata 'gaya' Xavi itu menghasilkan tiga gol buat Barcelona dalam separuh masa pertama sahaja, menjadikan Simeone begitu sugul dan tidak berpuas hati dalam temu bual pasca perlawanan.
Kemenangan Barcelona itu turut menyaksikan satu aksi sulung penuh bergaya daripada Adama Traore.
Traore membuatkan pemain bek kiri Atletic, Mario Hermoso, cukup pening untuk menangani lariannya dan Barcelona mencipta banyak peluang berbahaya daripada pihaknya, termasuk satu bantuan jaringan untuk Gavi bagi gol kedua.
"Adama seorang pemain sayap sejati dan semestinya satu perolehan yang baik buat kami.
"Dia tahu bila dia harus berhadapan dengan pemain lawan, dia juga tahu bila dia seharusnya menghantar bola.
"Daripada aspek fizikal pula, dia memang tidak tertandingi," puji Xavi terhadap aksi pemain barunya itu.
Selain Traore, pemain veteran Dani Alves yang kembali menyertai Barcelona selepas beraksi di Brazil selama lima tahun, turut memberi persembahan memberangsangkan.
Alves melakukan bantuan jaringan untuk Jordi Alba dan turut menjaringkan gol keempat buat pasukannya.
Malang sekali, dia menerima kad merah akibat mengasari Yannick Carrasco pada minit ke-70.
"Sewaktu kami bermain dengan 11 pemain, kami menyerang dengan cukup baik. Sewaktu kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain, kami mendorong satu sama lain dan tidak terlalu terkesan.
"Ini adalah satu kemenangan yang hebat, tetapi kami harus terus merendah diri dan tidak boleh sama sekali memerlahankan momentum kami mulai dari saat ini."
Selain Traore, Barcelona turut menerima ketibaan Pierre-Emerick Aubameyang dari Arsenal dan Ferran Torres dari Manchester City bagi memperkukuhkan barisan serangan mereka.
Adakah ini permulaan kebangkitan Barcelona yang telah lama dinanti-nantikan?
;