Rencah Real Madrid

Suzana Basri
Disember 10, 2015 04:14 MYT
Sudah pasti, kemenangan besar kelab Sepanyol, Real Madrid mencuri tumpuan dengan mencetak 8 gol tanpa balas ketika menerima kunjungan Malmo di Santiago Bernabeu untuk menutup saingan selaku juara kumpulan A, dan melangkah penuh bergaya ke pusingan kalah mati.
Jika sebelum ini, kita sering disogokkan dengan gandingan tiga serangkai seteru utama Real Madrid di saingan liga domestik, Barcelona iaitu Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar. Namun apa yang dipamerkan Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Isco adalah peringatan dari Real Madrid bahawa mereka juga punya gandingan sempurna.
Ronaldo yang semakin matang dalam berkarya diatas padang, lebih selesa membantu melicinkan percubaan rakan sepasukan seperti Benzema yang turut cetak hatrik, berbanding ego untuk mengejar rekod gol terbanyak. Bagaimanapun usahanya dibalas dengan bantuan seorang lagi rakan sepasukan, Isco yang berperanan cukup penting dalam menjana serangan berbisa anak buah Rafael Benitez.
Keihklasan Ronaldo ternyata dibayar dengan gelaran yang mengejar pemain kelahiran Portugal ini di saingan Eropah. Ronaldo kini menjadi pemain pertama yang mencetak lebih daripada 10 gol pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara Juara dan penyumbang 4 gol dalam satu perlawanan, sekaligus memegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan dengan 88 gol keseluruhan.
Ini antara rencah yang menjadikan saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara musim ini cukup dinantikan. Ronaldo hanya perlukan satu lagi kecemerlangan untuk menyamai rekod 5 hatrik dipegang Messi di lapangan ini.
Namun persoalan mengenai pasukan mana yang akan menjadi seteru Real Madrid akan terjawab pada 14 Disember nanti. Apa yang termaktub, ia laluan lebih mudah kerana halangan nanti pastinya dari pasukan naib juara kumpulan dan antara yang disenaraikan adalah Arsenal.
;