Renang: Malaysia raih tiga emas

Penulis Jemputan
September 22, 2017 12:31 MYT
Skuad renang negara mempamerkan kecemerlangan dalam saingan hari keenam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 apabila merangkul tiga pingat emas dalam aksi di Pusat Akuatik Nasional, sebentar tadi.
Atlet berusia 30 tahun, Anderson Anak Jamba, tampil dengan persembahan hebat untuk mengungguli kategori rampaian individu 150 meter lelaki SM4 dengan catatan masa 3 minit 22.21 saat untuk mencipta rekod baru kejohanan.
Dia sekali lagi berjaya menambah jumlah emas buat Malaysia hari ini selepas memenangi acara kuak lentang 50m S4 (52.06s).
"Kepada golongan yang sama seperti saya, jangan pendamkan bakat yang ada. Buktikan kepada masyarakat yang anda juga berupaya menyumbang kepada negara," kata Anderson.
Bagi acara rampaian individu kategori 200m lelaki SM10, Fraidden Dawan, turut membutirkan emas selepas menewaskan pesaing dari Myanmar, Aung Phone, serta Yav Vannak dari Kemboja.
Fraidden mencatat masa 2m 30.67s, dengan catatan tersebut juga memecahkan rekod kejohanan, meninggalkan Aung Phone (2m 40.41s) dan Yav Vannak (2m 56.64s).
"Ini adalah emas keempat saya sejak edisi 2011, jadi saya sangat berpuas hati," kata Fraidden.
Bagaimanapun, hasrat Fraidden untuk meneruskan rentak cemerlang dalam acara 50m kuak lentang S10 tidak kesampaian apabila sekadar meraih gangsa dengan catatan masa 34.24s.
Atlet lain yang turut menyumbangkan pingat buat negara adalah Chung Wei Yoong yang meraih perak acara 200m rampaian individu SM14 manakala acara 50m kuak lentang S14 menyaksikan Ting Jin Ping mengutip perak dan Zadrian Chan Zhi Weng membutirkan emas buat Malaysia.
James Wong turut menghadirkan perak selepas menduduki tempat kedua acara 200m rampaian individu SM8 dengan catatan masa 2m 50.98s.
Gambar kredit: Twitter @KL2017
#Renang #Sukan Para ASEAN 2017 #Fraidden Dawan #Anderson Anak Jamba
;