Skip to main content

Rencana

Pusat Akuatik jelmaan Olimpik London

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

25717terjun2.jpg
Kagum melihat reka bentuk luaran Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil yang baru siap dinaiktaraf.

Semuanya berwajah baru, aura Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Sebaik melangkah ke dalam, udara sejuk terus menyapa sekaligus mewujudkan suasana selesa memandangkan suhu di Bukit Jalil sekitar 33 darjah celcius.

Saya terus melangkah ke kolam renang, tempat latihan skuad terjun, renang, renang berirama dan polo air.

Dari jauh sudah kedengaran suara ketua jurulatih terjun, Yang Zhuliang, memberi arahan terhadap anak buahnya termasuk juara dunia, Cheong Jun Hoong.

Penerjun kelahiran Ipoh, Perak itu masih segar dengan kejayaan menjuarai acara 10m individu platfrom Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary - penerjun pertama Malaysia yang berjaya melakukannya.

Saya segera bertemu Zhuliang dan bertanya pendapatnya mengenai Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil: "Semuanya bagus. Saya gembira kerana kontaktor mengikut beberapa pendapat kami. 

"Walaupun ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki namun secara keseluruhan, venue ini mengingatkan saya kepada Sukan Olimpik London 2012. Saya harap, penerjun Malaysia raih lebih banyak kejayaan selepas berlatih di kolam ini."

Benar, Olimpik London meninggalkan makna mendalam terhadap skuad terjun negara.

Di situlah, kebangkitan sebenar bermula apabila Pandelela Rinong raih pingat gangsa dalam 10m individu platform hingga diangkat sebagai ratu terjun negara.

"Ini mungkin satu kebetulan (logo Olimpik London). Tapi, saya gembira dengan wajah baru Pusat Akuatik Nasional. Ia memberi semangat baru kepada kami untuk berlatih lebih gigih," kata Pandelela.



Saya kemudian melihat penerjun negara seperti Jun Hoong, Wendy Ng Yan Yee, Ahmad Amsyar Azman, Leong Mun Yee menguji platform dan papan anjal baru - semuanya berpuas hati.

Semoga wajah baru Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil membakar semangat mereka, bukan saja skuad terjun malah semua atlet sukan akuatik negara kerana venue ini bakal jadi lubuk emas Malaysia pada Sukan SEA 2017.

Secara keseluruhan, 58 emas dipertandingkan di venue ini. Jika Malaysia dapat membolot separuh daripadanya sudah cukup baik untuk capai sasaran bergelar juara keseluruhan.

Advertisement

Must Watch Video