Skip to main content

Rencana

Projek ACE FAM terbaik

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

projek-ace.jpg
Kegagalan mengurus tadbir dengan baik serta menghormati syarat-syarat yang ditetapkan oleh pengendali Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kalangan pengurusan kelab dan persatuan negeri telah mengakibatkan kelab dan persatuan negeri itu dikenakan tindakan oleh pengendali Liga-M. 

Tindakan MFL itu juga telah membangkitkan kemarahan dan rasa tidak puas hati segelintir rakan kongsi MFL yang dikenakan tindakan itu.

Ini satu pengajaran berguna kepada rakan kongsi MFL apabila kurang bijak dalam menyusun kerja dan cuai dalam mengurus dokumentasi pasukan. Sudah pastilah dengan permasalahan seperti ini, ini mengambarkan bahawa setiap pekerja kelab atau persatuan negeri itu tidak begitu berkesan dalam melaksanakan tugas-tugas yang diberikan.

Sikap dan minda bekerja di kelab atau persatuan negeri perlulah diubah dan mereka perlu juga bijak mengambil inisiatif untuk mengikuti krusus-krusus atau latihan yang diberikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) atau badan induk bola sepak Malaysia, iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setelah FAM melancarkan halatuju bola sepak Malaysia F:30 (2019-2030) yang dilancarkan oleh Presiden FIFA Gianni Infantino, tahun lalu, ia demi kemajuan industri bola sepak Malaysia sendiri.

FAM telah menyusun pelbagai program-program untuk membantu memperbetulkan sistem urus tadbir dan perancangan dalam membangunkan industri bola sepak selain ingin mengubah minda dan cara bekerja yang lebih efektif sebagaimana dalam dunia koporat yang dituntut oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Sebagaimana yang penulis tahu, salah satu program yang baik dijalankan dalam F:30 FAM itu adalah untuk membantu ahli gabungannya dalam melancarkan sistem urus tadbir yang baik mengikut prosedur operasi standard (SOP), iaitu Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan FAM (ACE). 



Melalui program ACE ini, FAM menyediakan khidmat rundingan dalam  kalangan kakitangan FAM dan AFC bagi mendidik pengurusan ahli gabungan dan kelab dalam mencapai piawaian dan pengurusan yang lebih berkesan. 

Antara latihan yang disediakan FAM seperti strategik pemasaran, pengurusan kewangan dan banyak lagi.

Kesempatan ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh ahli gabungan FAM sekiranya ingin melihat kemajuan dan kejayaan dalam bola sepak Malaysia. 

Minda dan sikap bekerja itu yang perlu diubah kerana perubahan itulah yang akan menentukan kejayaan sesebuah organisasi serta mampu melahirkan pekerja yang berkualiti dan berkesan. 

Kepada pengurusan FAM yang telah menyediakan program yang berkualiti untuk ahli gabungan terutama kepada Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin sementara buat ahli gabungan FAM, mohonlah program yang baik ini demi kemajuan bola sepak Malaysia.
 

Advertisement

Must Watch Video