PIALA SUPER 100PLUS 2015 PAMER KUALITI LEBIH BAIK
Syamil Izwan Azizan
Disember 25, 2015 03:12 MYT
Disember 25, 2015 03:12 MYT
Memasuki edisi ke-15, pertandingan ini menemukan juara daripada sekolah-sekolah di peringkat negeri dengan 13 pasukan mengambil bahagian.
Ini merupakan pentas terbaik buat pemain-pemain yang tidak mendapat tempat dalam Liga Kementerian Pelajaran Malaysia, KPM untuk buktikan kemampuan mereka.
Edisi kali ini bagaimanapun menyaksikan juara bertahan, SMK Meru gagal melayakkan diri dengan slot untuk pasukan dari Selangor diwakili SMK Tinggi Kajang.
SMK Tinggi Kajang tidak mengecewakan apabila meneruskan kemaraan hingga ke perlawanan akhir sebelum dikecewakan SMK Kg Chengal yang wakili Kelantan dengan keputusan 0-2.
Ia sekaligus menebus kehampaan SMK Kg Chengal yang tewas di pentas final pada edisi 2011.
Pasukan ini turut gah apabila merangkul tiga anugerah individu iaitu Pemain Terbaik (Muhamad Aiman Naief Boskori), Penjaga Gol Terbaik (Hasbullah Abd Rahim) serta Penjaring Terbanyak (Muhammad Amirul Nizam Mohd Azmi) yang meledak 8 gol keseluruhan.
Manakala buat jurulatihnya, Muhammad Ridzuan Daud, ini gelaran kedua peribadi buat dirinya selepas mengemudi SMK Putera, juga dari Kelantan menjuarai pertandingan ini pada 2009.
Tempat ketiga pula jadi milik pasukan dari Pulau Pinang, SMK Guar Perahu yang juga bekas juara edisi 2003 selepas atasi tentangan SMK Tunku Ampuan Durah dari Negeri Sembilan menerusi kemenangan 3-1.
Apa yang menarik perhatian penulis ialah ada pemain-pemain yang punyai kemahiran dan berbakat besar untuk diketengahkan ke peringkat seterusnya.
Penulis yakin ada di kalangan pemain-pemain ini bakal menjadi sandaran negeri masing-masing khususnya bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia, Sukma di Sarawak tahun hadapan.
Selain kualiti tersendiri yang dipamerkan pemain-pemain, penulis juga tertarik dengan kelainan yang ditampilkan oleh penganjur.
Buat kali pertama, pertandingan ini dilangsungkan di permukaan padang tiruan SSTMI yang bukan sahaja menghadirkan cabaran tersendiri buat pemain tetapi menguji kemampuan mereka untuk cepat adaptasi kepada corak permainan yang lebih pantas dan terbuka.
Tidak dinafikan negara masih punyai "pool of talent" yang luas di peringkat remaja tetapi bagaimana bakat-bakat ini dibentuk menjadi pemain yang berkaliber harus lebih diberi penekanan supaya ia tidak dibiarkan sia-sia begitu sahaja.
Kepada SMK Kg Chengal, penulis ucapkan tahniah dan bagi pasukan-pasukan lain, jangan berputus asa dan cuba lagi pada edisi 2016.