Tidak dinafikan ia mampu mendorong seseorang atlit untuk berusaha menjadi lebih baik berbanding pencabarnya.

Tetapi bagaimana pula jika ia hanya mencetuskan pergeseran sesama mereka?

Demikian suasana yang berlaku dalam pasukan Mercedes AMG Petronas ketika ini yang punyai dua pelumba hebat tetapi hanya satu mahkota gelaran juara dunia jadi buruan.

Lewis Hamilton sekali lagi cemerlang, memenangi 10 daripada 19 perlumbaan musim ini untuk memperoleh gelaran dunia buat kali ketiga dalam karier.

Ini juga kejuaraan kedua berturut-turut buat Hamilton sejak dia menyertai Mercedes.

Manakala Rosberg menang enam perlumbaan dan sekali lagi terpaksa berpuas hati sebagai naib juara.

Mempunyai dua pelumba yang ada perwatakan juara sememangnya satu impian buat mana-mana pasukan.

Tetapi bagaimana apabila masing-masing sudah hilang rasa hormat antara satu sama lain dan pada akhirnya mencetuskan lebih banyak konfrontasi?

Perseteruan di kalangan rakan sepasukan dalam saingan Formula One sentiasa wujud tetapi paling jadi perhatian pada lewat 1980-an apabila Ayrton Senna menyertai pasukan McLaren.

McLaren ketika itu punyai Alain Prost dan kehadiran Senna cetus impak tersendiri sehinggakan pelumba legenda Perancis itu berhijrah ke Ferrari kerana tidak "sekepala" dengan Senna.

Jadi adakah Hamilton dan Rosberg akan menuju ke arah yang sama?

Soalan ini diajukan penulis kepada Hamilton semasa kunjungan singkatnya ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelumba berusia 30 tahun ini tidak nafikan persaingan hebat di antara mereka tetapi lebih selesa untuk bersaing dengan diri sendiri supaya menjadi pelumba yang terbaik.

Jawapan itu mungkin ada nada klise tetapi penulis berpandangan Hamilton mahu elak perseteruannya bersama Rosberg berlanjutan hingga ke luar litar.

Musim Formula One 2016 pastinya menjadi antara yang paling mencabar dengan 21 litar dalam kalendar perlumbaan - rekod baru untuk jumlah perlumbaan terbanyak dalam semusim.

Nyata penulis tidak sabar untuk menanti adakah Hamilton mampu pertahan kejuaraan atau Rosberg akhirnya peroleh peluang untuk cipta kejutan.