Skip to main content

Rencana

Percaturan OGS berhasil!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

bruno-fernandes.jpg
Terbang ke kota Paris untuk berentap dengan finalis Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, PSG tanpa ketua pasukan Harry Maguire, Dayang sejujurnya tidak mengharapkan kemenangan buat Manchester United, malah beranggapan United hadir di Stade de France sekadar mahu mendapatkan sekurang-kurangnya keputusan seri.

Sewaktu sidang media sebelum perlawanan, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer secara bersahaja mengatakan Bruno Fernandes akan menjadi ketua pasukan United bagi perlawanan ini, tanpa diketahui pemain itu. 

Ternyata percaturan OGS membuahkan hasil, bukan sahaja Bruno mempamerkan aksi cemerlang, malah beberapa pemain turut menunjukkan kualiti berbeza sewaktu berdepan PSG. David De Gea dinobatkan pemain terbaik perlawanan setelah cemerlang menidakkan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah yang mampu sekurang-kurangnya meledakkan dua atau tiga gol jika tidak kerana De Gea.

Malah, ketiadaan Harry Maguire turut tidak dirasai apabila gandingan Victor Lindelof, Axel Tuanzebe dan Luke Shaw berjaya merantai Mbappe dan Neymar dari menjaringkan gol. Malah satu-satunya gol PSG hadir dari gol sendiri Anthony Martial yang tanpa sengaja menanduk cantik gol ke gawang United.




McTominay dan Fred yang kurang diberikan minit permainan di Liga Perdana Inggeris turut menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaiknya apabila memberi bantuan cukup kepada barisan pertahanan. Malah OGS turut memberitahu media McTominay bermain dengan satu mata tanpa kanta lekap pada separuh masa pertama yang diibaratkan seperti bermain dengan sebelah mata sahaja.

Paling mencuri tumpuan sudah tentu kelibat kapten, Bruno Fernandes yang tenang mengambil penalti kali kedua setelah sepakan pertama dibatalkan. Gaya bersahaja menendang bola ke arah yang sama secara tidak langsung membuktikan kualiti dan ketenangan yang dimiliki pemain antarabangsa Portugal itu. Akhir sekali, disaat perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Marcus Rashford mengulangi perkara sama yang dilakukan pada UCL 2018 dengan meledakkan gol kemenangan yang menghadiahkan tiga mata berharga buat United. 

Kem United kini berada pada motivasi tinggi yang amat baik selepas dua kemenangan dengan lima perlawanan mendatang akan terus menguji kualiti yang dimilki. Bermula dengan berdepan Chelsea hujung minggu ini, lawan seterusnya ialah RB Liepzig, Everton, selain Arsenal dan Istanbul Basaksiher.  
 

Advertisement

Must Watch Video