RENCANA
Perang Tekong semakin hebat
Tamat pusingan pertama dan kehangatan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini semakin hangat. Juara bertahan, Penang Black Panthers kekal mendahului dengan 14 mata, dipisahkan dengan Johor Tigris melalui kiraan set sahaja. Tempat ketiga dihuni Perak Bison dan Kelantan Warriors yang memungut 12 mata.
Dua pasukan bergelut, Terengganu Turtles dan Sabah Mountaineers, wajib mencipta kemenangan jika tidak mahu tersingkir ke Divisyen 1, musim depan.
Tulisan kali ini, saya cuba memberi pandangan kepada posisi tekong yang memainkan peranan utama berbanding apit kanan dan apit kiri.
Dalam kiraan mata 21, tekong yang baik mampu menghasilkan tiga mata mudah melalui pelbagai variasi servis untuk meninggalkan pihak lawan. Regu akan bergelut jika tekong menghadapi masalah
melakukan servis.
Bagaimana prestasi tekong dalam STL musim ini? Import Perak, Natthawut Naewprom, yang baru menjuarai Liga Thailand menjadi bualan hangat penyokong apabila servis kencangnya berjaya membantu Bison menang dua perlawanan berturut-turut.
Tekong Siam Black Panthers jugak tidak kurang hebatnya. Biarpun Purached Yodsaen tidak memiliki ketinggian yang ideal sebahai tekong tetapi drop nipisnya begitu menghantui pertahanan lawan. Penang boleh lupakan Syahir Rosdi atau Panjang buat seketika kerana prestasi cemerlang Purached berjaya membantu mereka sebagai pendahulu STL pusingan pertama.
Gelagat tekong Negeri Sembilan Antlest, Wirawut Nongkai juga menghiburkan. Dia tidak mudah tertekan cuma kadang kala terperangkap dengan servis batal. Setakat ini membentuk gandingan mantap bersama dua pemain kebangsaan, Khairol Zaman Akhbar dan Syazreen Qamar Salehan.
Apirak Promanee juga semakin mengganas dan tiga kemenangan berturut-turut Kelantan Warriors di Spice Arena jelas membuktikan kehebatannya. Dia memiliki pelbagai variasi servis dan yang paling penting 'senyum sokmo'.
Itu cerita tekong import yang berjaya memberi kesan kepada pasukan yang diwakili. Bagaimana pula tekong import yang prestasi sama taraf atau lebih teruk daripada tekong tempatan?
Wasun Titapan (Terengganu Turtles) dan Wiraphong Phukoet (Sabah Mountaineers) masih gagal memberikan aksi terbaik dan sering diganti tekong tempatan. Lebih menyedihkan, Wiraphong masih gagal mengecapi nikmat kemenangan pertama STL dalam sembilan perlawanan. Mungkin, rezekinya ada di Gem Inn Mall? Siapa tahu?
Bagaimana pula nasib tekong tempatan? Farid Aziz atau Dal yang mewakili Johor Tigris dianggap terbaik setakat ini. Melalui servis kaki kirinya, dia berjaya membawa regu kendalian Ahmad Jais Baharun di tangga kedua liga, berkongsi 14 mata dengan pendahulu, Black Panthers.
Tekong ATM Guardians yang juga tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir agak tenggelam dalam pusingan pertama. Dia masih tercari-cari senjata pemusnah. Dia perlu cepat bangkit kerana kalah tiga perlawanan berturut-turut memberi isyarat kurang baik kepada naib johan STL dan Piala Juara-Juara, musim lalu.
Syahmi Husin (PDRM Defenders) dan Aizat Azmi (Kuala Lumpur Thunders) perlu lebih konsisten untuk membantu pasukan mereka memburu kejuaraan STL musim ini. Namun paling penting dapat buktikan kualiti tekong kebangsaan sama taraf dengan tekong import.
Saya seronok melihat bagaimana tekong muda Bison, Meor, 'membuli' Apirak dan Sahakan Suiyang (Kelantan Warriors) untuk menang 2-0 tetapi rasa mahu menutup siaran langsung Astro Arena 802 HD apabila tekong negara, Hazizi 'dibelasah' Natthawut dan Apirak. Adoi!
Pastinya selepas berehat seminggu dan perubahan venue dari Dewan Jubli Perak MPKB, Kota Bharu ke Gem Inn Mall, Cyberjaya bakal menjanjikan aksi lebih hangat. Kita tengok pula tekong mana lebih hebat di pusingan kedua?