Skip to main content

Rencana

Perang dingin: Chong Wei vs Morten Frost

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

chong-wei.jpg
Pertemuan Datuk Lee Chong Wei menentang Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, ketika kemuncak prestasi mereka ibarat impian setiap peminat badminton dunia.

Siapa yang mungkin akan memenangi pertemuan ini andai mereka berentap dalam aksi bersifat kompetitif.

Dengar-dengar akan ada pertembungan antara mereka, bukan dalam gelanggang tetapi kerana perihal permukaan gelanggang di Akademi Badminton Malaysia.

Cerita di sebalik kecederaan lutut serius Chong Wei difahamkan tidak sekadar bersandar kepada elemen nasib malang tetapi kegagalan pihak pengurusan BAM bertindak lebih awal.

Perbualan singkat antara Chong Wei termasuk perkongsian bersama rakan media lain menyerlahkan pendedahan yang berupaya menggugat harmoni skuad negara.

Susulan pelancaran gelanggang Akademi Badminton Malaysia pada awal bulan ini barisan kejurulatihan perseorangan negara mengusulkan cadangan agar permukaan ditukar atas faktor kelicinan yang berupaya mengundang mudarat.

Malang memang tidak berbau apatah lagi mangsa situasi ini adalah Chong Wei yang sedang mempersiapkan diri menghadapi kejohanan pertama dia bagi musim 2017 dalam Seluruh England pada Mac.

Chong Wei juga sudah mula melempiaskan emosi, menzahirkan hasrat bersemuka dengan Frost serta kepimpinan BAM.

Banyak lagi yang diluahkan Chong Wei dan BAM perlu akur dengan keluhan individu yang sudah banyak berkorban atas nama gemilang badminton Malaysia. 

Pada masa sama saya juga berasa tidak enak untuk dedah setiap perkataan dan simpulan ayat yang terbit daripada bibir Chong Wei.

Takut ada yang terguris hati dan kalau boleh saya rumuskan, satu luahan di luar batas kesopanan dan kesusilaan

Tidak ada entiti yang sempurna di dunia dan BAM tidak terkecuali dalam keperluan menangani kontroversi.

Ini juga bukan kali pertama ada ketegangan antara Frost dan Chong Wei, ingat lagi drama ketika dia menghadapi kempen Siri Super Terbuka Korea dan Jepun edisi 2015?

Kalau senario ini menimpa pemain lain pasti berbeza nada ceritanya tetapi mungkin ini satu lagi takdir yang perlu diatasi Chong Wei demi sesuatu yang lebih besar buat 
keseluruhan skuad negara.

Jangkakan drama akan berterusan pada hari-hari mendatang namun seperti selalu saya percaya akan ada sinar di penghujung kemelut ini.

Advertisement

Must Watch Video