RENCANA
Pentas permainan baru untuk Malaysia
Sudah bersedia untuk saksikan wakil negara di Sukan Olimpik musim sejuk yang sedang hangat berlangsung di Pyeongchang? Malaysia selaku negara beriklim khatulistiwa cukup bertuah kerana dapat turut serta dalam kemeriahan temasya ini buat julung kalinya dengan mempertaruhkan dua peluncur ais, Julian Yee dan Jeffrey Web, yang akan bersaing dalam acara figure skating dan giant slalom.
Dalam keterujaan menanti aksi kedua-dua wakil negara ini pada pagi Jumaat, saya terfikir apakah kelayakan mereka bersaing di peringkat olimpik sudah cukup untuk sukan ini berkembang pesat di negara kita atau rakyat Malaysia menantikan kejayaan lebih besar, berterusan dan membabitkan habuan lebih lumayan untuk menerima sepenuhnya cabang baru sukan ini?
Memang benar, bersaing dengan negara yang rata-ratanya pengeluar atlet sukan musim sejuk, wakil negara kelihatan agak kerdil walaupun Jeffrey berpangkalan di Amerika Syarikat dan Julian pula sering berulang alik ke Korea Selatan untuk latihan intensif. Apatah lagi mendengar kisah perjalanan kerjaya Julian dan Jeffrey yang penuh berliku, saya pasti ramai peminat sukan ini di Malaysia yang sudah berhenti atau mungkin kini sekadar menjadikannya sebagai hobi sahaja. Dilabel sukan bukan popular, bantuan kewangan dari kerajaan bukanlah jaminan, sementara penajaan juga sukar diperoleh. Namun apa yang dilakukan keluarga Yee dan Webb membuktikan tiada yang mustahil.
Siapa sangka karisma dan pemilihan lagu Julian selama ini akan menjadikan dia antara tumpuan utama di Pyeongchang ketika menyandang status sebagai "underdog". Sebelum ini, pentas Olimpik hanya menggunakan muzik instrumental tetapi kali ini para peluncur bebas memilih sebarang lagu. Lagu berlirik seringkali menjadi pilihan Julian dan seakan satu "trademark" setiap kali peluncur berusia 21 tahun ini tampil menghiburkan dalam mana-mana kejohanan, sehingga dia dilabel peluncur generasi baru yang mampu menarik minat golongan muda untuk meminati sukan ini.
Alangkah baiknya jika golongan muda di Malaysia juga melihat potensi yang ada pada sukan ini. Julian yang bersaing dalam kategori solo mungkin boleh mempelbagaikan penyertaannya jika ada 10 lagi peluncur figure skating yang sehebat dan sekentalnya di tanah air. Jeffrey pula boleh menguji tahap luncurannya jika memiliki rakan senegara untuk bertarung sebagai latihan demi mendukung misi yang sama.
Sokongan Kementerian Belia dan Sukan juga pastinya akan berterusan sekiranya ia mendapat sambutan ramai pihak. Jika orang luar boleh berasa kagum dengan kemampuan Julian yang hanya berlatih di gelanggang yang terbina dalam pusat membeli belah dan Jeffrey yang cukup berdikari berlatih sendiri di luar negara, kenapa kita pula terus meletakkan persepsi bahawa sukan ini hanya sesuai untuk mengisi masa senggang dan siap dengan seribu satu alasan berbanding memperjuangkan sukan luncur ais?
Selamat berjaya buat Julian dan Jeffrey!