RENCANA
Penghormatan kepada Malaysian Hockey Tigers!
Daripada perlawanan suku akhir menentang India tamat sehingga kini, saya masih lagi menghadamkan kejayaan Malaysia melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Hoki Dunia 3 merangkap kelayakan Piala Dunia 2018.
Percaya atau tidak, sejarah telah tercipta di bumi London kerana buat julung-julung kalinya sejak Liga Hoki Dunia diperkenalkan di Dublin pada 2011, Malaysia mara hingga ke peringkat separuh akhir.
Kemenangan Malaysia bukanlah ke atas calang-calang pasukan -- India antara nama besar di pentas hoki antarabangsa ketika ini sebagai juara Asia serta menduduki tangga keenam dalam ranking dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Iklan
Dua gol jaringan Muhammad Razie Rahim dan satu lagi daripadaTengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menerusi pukulan sudut penalti cukup membanggakan seluruh rakyat Malaysia.
Awalnya, tidak banyak harapan diberikan apabila Malaysia terpaksa berhadapan India apabila barisan kita menamatkan saingan di peringkat Kumpulan A di tangga ketiga di belakang pasukan no. 1 dunia, Argentina, serta tuan rumah, England.
Tetapi, jika dilihat pertemuan kedua-dua pasukan sememangnya berpihak kepada India tetapi Malaysia juga pernah menewaskan pasukan lawan itu di pentas besar dunia.
Baru-baru ini, dalam Piala Sultan Azlan Shah, Malaysia menang 1-0, 3-2 dalam separuh akhir Sukan Asia 2010, 4-3 dalam Piala Dunia 2002 dan juga dalam separuh akhir Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, 1-0.
Permulaan yang begitu cemerlang ditunjukkan oleh pasukan negara sememangnya memberikan kami bahawasanya hari ini akan menjadi hari bersejarah buat hoki negara. Bagi saya, ini adalah prestasi terbaik di sepanjang lima perlawanan yang telah mereka lalui.
Saya bersama rakan setugas, Zainal Abidin Rawop, dalam menyampaikan ulasan siaran secara langsung perlawanan ini di Astro Arena, sangat-sangat teruja dan terharu sehinggakan kami tidak dapat menyembunyikan keterujaan kami, terutama dalam satu minit terakhir.
Kami juga, seperti semua rakyat Malaysia, menyambut girang selepas siren dibunyikan menandakan permainan tamat dan kemenangan 3-2 berpihak kepada pasukan hoki negara.
Kemenangan hari ini juga melayakkan pasukan negara ke Liga Hoki Dunia Peringkat Akhir di India hujung tahun ini.
Tempat dalam Liga Hoki Dunia Peringkat Akhir diberikan kepada empat pasukan teratas di London dan Liga Hoki Dunia 3 di Johannesburg yang akan berlansung awal bulan depan.
Namun, pasukan negara harus menunggu lagi kerana India sebagai tuan rumah secara automatik mengambil satu slot di sana, jadi mungkin hanya tujuh pasukan terbaik daripada kedua-dua Liga Hoki Dunia 3 ini akan mendapat tempat.
Apapun, sama ada Malaysia ke Liga Hoki Dunia Peringkat Akhir atau tidak, yang penting pemain-pemain telah melangkaui jangkaan ramai yang menjangkakan mereka hanya mampu menduduki tangga ketujuh atau kelapan saja di London.
Kepada Stephen Van Huizen, barisan pegawai pasukan dan pemain-pemain, anda semua berhak diberi setinggi-tinggi penghormatan daripada seluruh rakyat Malaysia.
Anda telah membuatkan kami bangga sebagai rakyat Malaysia.
Selamat maju jaya menentang Argentina di peringkat separuh akhir nanti!
Must-Watch Video