RENCANA
Pemecatan enggan dekati Bilic
Slaven Bilic terlalu kecewa selepas menyaksikan barisan West Ham di bawah pengendaliannya tunduk kepada Brighton and Hove Albion, 20 Oktober lalu, hingga dia dilihat pasrah menanti pengumuman untuk dipecat.
Malah, anggota pasukan kejurulatihan Bilic menjangkakan suasana panas bak ketuhar di dalam bilik persalinan dan suara yang ditinggikan selepas The Hammers diaibkan 3-0 di laman sendiri oleh sebuah pasukan yang baru dinaikkan daripada Liga Kejuaraan.
Sebaliknya, seperti yang didedahkan oleh akhbar The Mirror, pengurus itu yang bermuram-durja, senyap-senyap memasuki bilik persalinan pasukan, berjabat tangan dengan semua pemain dan staf dan segera beredar keluar tanpa menuturkan sepatah kata pun.
Reaksi dan sikap membisu seribu bahasanya meninggalkan pemain-pemain – yang turut bersedia untuk menyuarakan kekecewaan masing-masing – dalam kebingungan.
Bilic, sebaliknya, bertegas kepercayaan terhadap kemampuannya sendiri, belum lagi goyah.
Bekas bek tengah West Ham berusia 49 tahun itu menyimpulkan: “Setiap kali kami berada dalam situasi hidup atau mati, kami akan menang.
“Adakah ia ketika berdepan Palace di tempat lawan musim lalu? Adakah ia dua perlawanan tempat sendiri menentang Burnley and Hull dalam tempoh beberapa hari? Atau adakah ia perlawanan menentang Swansea di tempat sendiri? Berdepan Spurs, juga di tempat sendiri?
“Setiap kali kami perlu melakukannya, kami telah pun lakukan.
“Ia adalah beberapa perlawanan penting buat kami, tetapi selepas itu, ia akan menyusul beberapa perlawanan penting lagi.
“Setiap kali selepas sesuatu perlawanan, saya akan ada perbualan dengan pengerusi. Dan kami akan sama-sama bersetuju yang kami perlu dapatkan mata dengan secepat mungkin.
“Anda tanya saya mengenai (Everton yang sekadar menghimpun lapan mata daripada sembilan perlawanan, baru memecat pengurusnya, Ronald) Koeman.
“Akan sentiasa ada tiga, empat atau lima pengurus dalam kedudukan genting – dan pastinya saya salah seorang daripada mereka.
“Adakah ia membuat saya hilang fokus? Tidak, ia hanya meningkatkan lagi tumpuan anda, dalam keadaan apa pun. Itu adalah kekuatan utama saya, untuk mejadi kuat dalam keadaan sukar.
"Ketika ini, saya berada dalam keadaan sedemikian. (Namun) itu semua tidak menakutkan saya,” hujahnya dengan panjang lebar.
Tidak syak lagi, Bilic berada di bawah tekanan hebat dengan pasukannya hanya menang dua – menewaskan Huddersfield Town 2-0 dan Swansea City 1-0 -- daripada 10 perlawanan liga mereka musim ini, dengan keputusan terbaru seri 2-2 dengan Crystal Palace semalam, sekadar kelegaan sementara.
Pengurus berbangsa Croatia itu mengakui “sedikit terperanjat” dengan situasi yang melanda West Ham ketika ini selepas urusan pembeliannya pada musim panas lalu dirasakannya memadai untuk menampung segala kekurangan mereka.
Pablo Zabaleta (Man City, percuma), Joe Hart (Man City, pinjaman), Marko Arnautovic (Stoke, £25j) dan Javier Hernandez (Bayer Leverkusen, £16j) adalah antara pemain yang didatangkannya.
Sebaliknya, Darren Randolph (Middlesbrough, £5j), Reece Oxford (Borussia Monchengladbach, pinjaman), Havard Nordtveit (Hoffenheim, £8j), Enner Valencia (Tigres) dan Ashley Fletcher (Middlesbrough, £6.5j) meninggalkan pasukan.
Di tangga ke-16 ketika ini dengan sembilan mata daripada 10 perlawanan, ia mungkin sekadar memadai untuk menghindarkan Bilic daripada pemecatan -- buat sementara waktu.